Beri peluang kerjasama syarikat tempatan dengan FDI

Beri peluang kerjasama syarikat tempatan dengan FDI

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Semenjak 2010, sebanyak enam buah syarikat Pelaburan Langsung Asing (FDI) telah pun beroperasi di Negara Brunei Darussalam.

Syarikat-syarikat itu adalah Syarikat Amann Shipping, Syarikat Brunei Methanol, Syarikat CAE Multi Purpose Training Centre, Syarikat Gold Coin, SBI Islamic Fund dan Syarikat Simpor Pharma di mana pihak kerajaan merupakan pemegang saham kepada Syarikat Brunei Metanol Company melalui Syarikat Petroleum BRUNEI dan Syarikat Amann Shipping, Syarikat CAE, SBI Islamic Fund dan Syarikat Simpor Pharma melalui Strategic Development Capital, Kementerian Kewangan.

Syarikat Amann, Syarikat CAE, SBI Islamic Funda dan Syarikat Simpor Pharma adalah syarikat yang dibawa oleh Strategic Development Capital ke Negara Brunei Darussalam, kata Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar, ketika menjelaskan mengenai isu FDI yang dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad pada Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang untuk hari kelima, hari ini.

Yang Berhormat Pehin mendedahkan bahawa syarikat-syarikat berkenaan telah menjana jumlah pelaburan secara keseluruhan sebanyak $1.15 bilion dan telah menghasilkan sebanyak 346 peluang pekerjaan tempatan.

Sehingga penghujung 2015, ulasnya lagi, enam buah syarikat FDI berkenaan telah menjana pendapatan sebanyak $178 juta.

pg10_160311_a

pg01_160311_MMN-_LogoMengulas mengenai kajian khusus mengenai sambutan para pelabur asing, Yang Berhormat Pehin mengakui bahawa setakat ini beluam ada kajian khusus mengenai FDI telah dilaksanakan, namun begitu, Jawatankuasa Pelaburan Langsung Asing dan Industri Hiliran telah pun memulakan kajian untuk mengenal pasti kaedah-kaedah yang efektif dalam penyediaan platform yang telus dan memperkemas untuk FDI.

Manakala itu, mengulas mengenai peluang bagi pengusaha tempatan untuk bekerjasama dengan syarikat FDI, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa setakat ini, belum banyak pengusaha tempatan diberi peluang bekerjasama dengan syarikat FDI.

“Daripada enam syarikat Pelabur Langsung Asing tersebut di atas, Gold Coin Sdn Bhd dan Simpor Pharma Sdn Bhd mempunyai penyertaan usaha sama daripada peniaga-peniaga tempatan.

“Pihak kerajaan akan memastikan setiap FDI yang melabur di negara akan menjana perusahaan-perusahaan sampingan kepada pengusaha-pengusaha SME tempatan Brunei, mewujudkan peluang pekerjaan anak-anak tempatan dan terutama sekali meningkatkan hasil pendapatan negara.”

Sementara itu, menjawab persoalan Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Muhammad Taha bin Abdul Rauf mengenai perkembangan projek pembinaan sebuah kilang aluminium di Negara Brunei Darussalam oleh Dongyang Ganchul di bawah Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Tidak Terikat di antara Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dengan Dongyang Gangchul Co. Ltd (Korea) telah diadakan pada 27 Jun 2014 lalu, bagi projek yang dicadangkan bagi pembinaan sebuah kilang aluminium di Negara Brunei Darussalam.

“Berikutan penandatanganan tersebut, kelulusan telah pun diberikan pada 27 November 2014 untuk meneruskan dengan projek tersebut, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu berkaitan dengan keperluan gas asli serta tenaga elektrik. Dongyang telah bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan.”

Walau bagaimanapun, jelas Yang Berhormat Pehin, berikutan dengan keadaan ekonomi dunia yang merudum, akibat kejatuhan harga minyak, syarikat-syarikat antarabangsa secara am mengambil langkah berhati-hati dengan membuat penelitian wajar sebelum membuat sesuatu pelaburan.

“Maka dengan itu, Syarikat Dongyang telah meminta tempoh sehingga tahun 2018 untuk meneliti dan mengkaji semula projek yang dicadangkan.

“Untuk makluman Yang Berhormat, prasarana asas seperti penyediaan tapak tanah di Bukit Panggal sudah tersedia dan kerajaan tidak semestinya bergantung pada Syarikat Dongyang sahaja kerana tapak ini nanti boleh dimanfaatkan bagi keperluan projek-projek FDI yang lain.”

ARTIKEL YANG SAMA