Beri peluang mengajar Bahasa Kadazandusun di sekolah – PEKADIN

Beri peluang mengajar Bahasa Kadazandusun di sekolah – PEKADIN

KOTA KINABALU, 21 Julai – Kementerian Pendidikan hari ini digesa memberi peluang kepada graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengambil minor Bahasa Kadazandusun (BKD) untuk mengajar subjek itu di sekolah-sekolah di Sabah.

Timbalan Presiden Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (PEKADIN), Nailin Gabintal berkata ramai lulusan UPSI yang minor BKD belum dipanggil temu duga sedangkan terdapat kekosongan guru BKD di kebanyakan sekolah.

“Malah ada beberapa sekolah yang pengajaran BKD diganti dengan bahasa lain disebabkan ketiadaan guru BKD.

“PEKADIN percaya graduan UPSI yang terlatih boleh membantu dalam pengajaran bahasa itu di Sabah sekiranya diberi peluang,” katanya dalam satu kenyataan.

Nailin mengulas cadangan bekas Pelajar (alumni) Bahasa Kadazandusun agar graduan yang mengambil minor BKD diberi peluang diserap terus menjadi guru BKD.

Wakil Alumni Minor BKD UPSI Klokson Majumba dipetik sebagai berkata sehingga kini terdapat beberapa graduan universiti itu yang mengambil minor BKD belum mendapat pekerjaan. – Bernama