Beri peluang penuntut perkaya pengalaman

Beri peluang penuntut perkaya pengalaman

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Bidang logistik merupakan salah satu bahagian pembangunan ekonomi yang penting bagi Negara Brunei Darussalam terutama dalam usaha mempelbagaikan ekonomi negara daripada terus bergantung pada sektor minyak dan gas.

Oleh itu, kerjasama di antara Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Brunei Darussalam (UBDSBE) dan Kumpulan Archipelago merupakan satu langkah strategik bagi kedua-dua belah pihak, ulas Dekan UBDSBE, Dr Haji Mohamad Nabil Almunawar semasa Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UBDSBE dan Kumpulan Archipelago yang berlangsung di Dewan Kuliah 1, Bangunan Sains Berintegrasi, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

Beliau berkata lagi bahawa kerjasama bersama Kumpulan Archipelago, merupakan satu kerjasama yang amat signifikan di mana ia setentunya dapat memberikan peluang kepada penuntut sekolah perniagaan itu dengan pengalaman yang berguna serta memperkayakan suasana pembelajaran terutamanya dalam bidang logistik dari segi pengalaman kerja dalam industri.

Dr Haji Mohamad Nabil turut menyatakan bahawa UBDSBE juga mempunyai perancangan untuk menjadi di antara sekolah perniagaan yang terbaik serantau selaras dengan hasrat Negara Brunei Darussalam menyediakan pendidikan yang berkualiti tinggi serta melahirkan pemimpin masyarakat yang berkaliber.

Dalam usaha mencapai hasrat itu, tambahnya lagi, sekolah perniagaan itu memberikan keutamaan kepada tiga objektif utama iaitu untuk menawarkan kursus kemahiran, ekonomi dan program profesional yang berkualiti, melahirkan graduan yang berkemahiran dan berilmu pengetahuan serta untuk meningkatkan lagi budaya penyelidikan.

Dr Haji Mohamad Nabil dan Haji Mohd Razali bergambar-ramai dengan para graduan sarjana serta pegawai kanan Kumpulan Archipelago dan UBDSBE pada majlis berkenaan.
Dr Haji Mohamad Nabil dan Haji Mohd Razali bergambar-ramai dengan para graduan sarjana serta pegawai kanan Kumpulan Archipelago dan UBDSBE pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Archipelago, Haji Mohd Razali bin Haji Johari berkata bahawa kerjasama itu bukan sahaja memberikan peluang kepada para penuntut untuk mendapat pengalaman kerja yang berguna dalam bidang logistik tetapi memberikan peluang bagi lebih ramai lagi anak tempatan untuk menceburi bidang berkenaan.

Pada majlis itu, menandatangani MoU bagi pihak UBDSBE ialah Dr Haji Mohamad Nabil dengan disaksikan oleh Timbalan Dekan UBDSBE, Dr Muhammad Zahidul Islam dan Kumpulan Archipelago pula diwakili oleh Haji Mohd Razali dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Archipelago, Lim Thian Chan.

Majlis kemudian diteruskan dengan penandatangan surat lantikan di antara Kumpulan Archipelago yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Jeffrey Sim dan tiga orang graduan bagi Program Sarjana Logistik iaitu Dayang Norain binti Awang Damit, Dayang Nursyazwani binti Bujang dan Dayang Siti Syazwani binti Haji Mohamad Kasim.

Matlamat MoU itu adalah untuk memberikan peluang kepada penuntut-penuntut UBDSBE bagi mendapatkan pengalaman kerja bersama Kumpulan Archipelago di bawah program penempatan kerja Discovery Year mereka.

MoU itu dipercayai mampu untuk mengembangkan lagi pengalaman pembelajaran para penuntut UBDSBE dan melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan praktikal dalam bidang logistik serta kemahiran berkomunikasi di tempat kerja sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran Discovery Year mereka. Ia juga merupakan sebahagian daripada kerjasama aktif di antara UBD dan universiti-universiti serta institusi swasta di seluruh dunia.

Selain daripada peluang penempatan kerja, Dr Haji Mohamad Nabil berkata bahawa UBDSBE dan Kumpulan Archipelago juga sedang membincangkan mengenai dengan peluang untuk melaksanakan projek bersama yang lain di mana kerjasama di antara universiti dan industri menyediakan platform bagi penuntut sekolah perniagaan itu, mendapatkan pendedahan suasana dunia kerja sebenar serta menggalakkan mereka untuk mencari penyelesaian yang terbaik apabila menghadapi sebarang masalah atau cabaran.

Menurutnya lagi, peluang itu juga amat berguna bagi para penuntut supaya mereka dapat menggunakan teori yang dipelajari kepada pelbagai proses dan produk dalam situasi seharian.

ARTIKEL YANG SAMA