Beri peluang untuk berubah

Beri peluang untuk berubah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Penjara bukan sekadar tempat pelaksanaan hukuman ke atas pesalah undang-undang, tetapi lebih ditakrifkan sebagai tempat pemulihan. Memang tidak dinafikan, agak sukar untuk mengikis stigma masyarakat ke atas bekas penghuni penjara.

“Kami juga berhak mendapat peluang kedua untuk berubah serta menjadi insan berguna kepada masyarakat dan negara, justeru penglibatan dalam Jualan 1 Kampung 1 Produk (1K1P) dan Hasil Kraf Tangan, Pertanian serta Pameran Jabatan Penjara inilah merupakan peluang kedua buat kami,” ujar salah seorang bekas banduan perempuan yang ikut serta dalam program berkenaan yang berlangsung di The Airport Mall, Berakas, hari ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat berkata, Jualan 1K1P yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini hingga 8 Mei ini bukan saja mengetengahkan produk-produk kampung, tetapi juga mengetengahkan produk yang dihasilkan oleh para banduan dan bekas banduan penjara.

“Jualan ini memberikan ruang kepada masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan dan mendokong program-program dalam pemulihan penghuni penjara. Dalam masa yang sama, jualan seumpama ini akan dapat memberikan keyakinan serta mengubah minda masyarakat untuk menerima bekas penghuni ke pangkuan masyarakat supaya mereka menjadi warga negara yang berguna” tambah Haji Ismail.

Beliau berkata, ke arah merealisasikan hasrat murni ini, Jabatan Penjara memerlukan sokongan moral dan kerjasama daripada masyarakat umum, keluarga, agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan Pertubuhan bukan kerajaan, termasuklah Majlis Perundingan Mukim dan Kampung.

Petak jualan bekas penghuni penjara dengan produk yang dijual.
Petak jualan bekas penghuni penjara dengan produk yang dijual.

Sokongan moral dan kerjasama sentiasa diperlukan dalam membantu program pemulihan dan proses pengintegrasian penghuni-penghuni agar pada satu hari nanti mereka akan menjadi aset yang berguna, katanya lagi.

Berhubung dengan usaha Jabatan Penjara untuk mengintegrasikan bekas-bekas atau dipanggil rakan seliaan, beliau berkata, Jabatan Penjara telah menubuhkan perkhidmatan kaunseling dan seliaan.

“Melalui dari perkhidmatan berkenaan, Alhamdulillah beberapa program lanjutan telah berjaya diusahakan yang setentunya melibatkan kerjasama daripada pelbagai pihak yang berkepentingan dan relevan.”

Beliau juga mengulas, program-program yang diusahakan merupakan program yang memberikan faedah serta peluang pekerjaan untuk bekas-bekas penghuni atau rakan-rakan seliaan.

Sementara itu, Ketua Pengajar Jabatan Penjara, Awang Hilmi bin Wasli pula menjelaskan bahawa jualan berkenaan antara lain bertujuan untuk memperlihatkan serta memberigakan kepada masyarakat mengenai amalan pencapaian pemulihan yang dilaksanakan di Jabatan Penjara.

Ia juga memberikan ruang kepada masyarakat untuk memainkan peranan dan mendokong program yang diadakan dalam penjara berkenaan bagi penghuni-penghuni, di samping memperlihatkan orang ramai hasil kerja tangan daripada penghuni lelaki dan perempuan.

Tambahnya lagi, ia juga memberikan keyakinan serta mengubah mindset masyarakat untuk menerima kembali bekas penghuni ini untuk menjadi insan yang berguna.

Antara barangan yang dijual oleh penghuni dan bekas penghuni penjara termasuk barang-barang kimpalan, set penyalaian barbeku, penyidai baju, meja seterika dan sebagainya.

Produk-produk ini mempunyai kualiti yang tersendiri, di mana setiap barang yang dihasilkan akan diperiksa kualiti agar dapat memenuhi cita rasa pembeli.

ARTIKEL YANG SAMA