Beri perhatian kepada orang susah

Beri perhatian kepada orang susah

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik bersabda menyeru supaya perhatian yang khusus juga diberikan oleh pihak-pihak tertentu dalam pengagihan buah-buah kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda Yang Teramat Mulia kepada golongan orang-orang susah, kurang berkemampuan termasuk di kalangan orang-orang tua.

Yang Teramat Mulia percaya kemanfaatan yang diperolehi jika penghulu dan ketua-ketua kampung selalu berdudun ke rumah anak-anak buah kampung masing-masing bukan sahaja untuk tujuan pengagihan buah-buah kurma berkenaan bahkan sekali gus dapat meninjau hal ehwal kesejahteraan mereka.

Yang Teramat Mulia bersabda demikian pada Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena bulan Ramadan yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, petang ini.

Dalam sabda Yang Teramat Mulia juga menyentuh mengenai kelebihan bulan Ramadan yang merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran dan meningkatkan pelbagai amalan kebajikan khususnya kepada amat yang memerlukan ihsan.

“Maka adalah amat rugi jika Ramadan datang dan berlalu meninggalkan kita begitu saja tanpa ada usaha dari kita untuk memanfaatkannya dengan melakukan berbagai ibadah dan amalan soleh.

pg01_150603_b

“Dalam konteks pengurniaan buah kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda ini, ia amat sinonim apabila sahaja tiba bulan Ramadan. Justeru itu saya tidak jemu-jemu untuk mengingatkan betapa pentingnya pihak-pihak yang diamanahkan untuk membuat pengagihan tersebut untuk melaksanakannya dengan sempurna dan teratur ke arah memastikan hasrat Paduka Ayahanda untuk melihat setiap umat Islam di negara ini berbuka puasa dengan kurma kurnia Paduka Ayahanda itu dapat ditunaikan dengan sebaik-baiknya,” sabda Yang Teramat Mulia.

Yang Teramat Mulia juga menyeru supaya perhatian yang khusus juga diberikan oleh pihak-pihak tertentu dalam pengagihan buah-buah kurma tersebut pada golongan orang-orang susah dan kurang berkemampuan termasuklah juga di kalangan orang-orang tua.

“Apa yang saya harapkan supaya penghulu dan ketua-ketua kampung hendaklah sentiasa bersikap prihatin dalam mengelinga golongan-golongan tersebut sehingga janganlah sampai terdapat situasi di mana ada di antara mereka tidak menerima buah-buah kurma berkenaan sehinggakan mereka terpaksa pula mencari dan berkunjung ke rumah penghulu dan ketua-ketua kampung bagi mendapatkan kurma-kurma tersebut.

“Saya percaya banyak kemanfaatan yang boleh saja diperolehi jika penghulu dan ketua-ketua kampung selalu berdudun ke rumah-rumah anak-anak buah kampung masing-masing bukan sahaja untuk tujuan pengagihan buah-buah kurma ini bahkan juga sekali gus dapat meninjau dan berinteraksi secara dekat dengan mereka bagi bertanyakan hal ehwal dan kesejahteraan mereka”, jelas Yang Teramat Mulia.

Oleh itu dalam menangani proses pengagihan tersebut Yang Teramat Mulia amat berharap supaya pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan turut memantau proses tersebut dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memastikan kesempurnaannya.

“Di kesempatan ini saya sukacita merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pegawai-pegawai daerah, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung anggota ABDB, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan pelabuhan-pelabuhan dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta semua yang terlibat dalam mengendalikan pengagihan buah kurma kurnia ini.

“Semoga Allah SWT akan mengurniakan ganjaran yang setimpal di atas usaha-usaha mereka yang ikhlas itu. Pada akhirnya marilah kita sama-sama berdoa kehadarat Allah SWT semoga paduka ayahanda akan dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat serta dalam perlindungan dan pemeliharaannya dengan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat,” sabda Yang Teramat Mulia.

ARTIKEL YANG SAMA