Beri perhatian suara rakyat

Beri perhatian suara rakyat

SANDAKAN, 25 Mei ( Bernama) – Peruntukan yang besar di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk transformasi pembangunan di kawasan luar bandar termasuk di negeri ini, membuktikan kerajaan Pusat terus memberi perhatian terhadap suara rakyat dan kepentingan Sabah.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Zakaria Mohd Edris berkata pengumuman itu menunjukkan bahawa kerajaan tidak bercakap kosong untuk melaksanakan pembangunan demi kemajuan kawasan luar bandar di negeri ini.

“Kerajaan mendengar suara rakyat di kawasan itu dan turut disampaikan oleh wakil rakyat untuk perhatian kerajaan Pusat.

“Sebagai wakil rakyat, saya sudah tentu mahu rakyat di kawasan luar bandar turut sama menikmati pembangunan dalam pelbagai aspek khususnya membabitkan bekalan air, elektrik dan jalan raya,” katanya di sini, hari ini.

Di bawah rangka rancangan lima tahun bermula 2016 hingga 2020 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, pelbagai perancangan diumum untuk kemajuan Sabah dan Sarawak.

Antaranya melibatkan kemudahan asas, pertambahan dan penambahbaikan infrastruktur jalan raya dan lapangan terbang, pembangunan, kemajuan luar bandar, penambahan peluang pekerjaan, kesihatan dan hospital.

Zakaria yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Gum-Gum berkata aspek berkaitan pembangunan kemudahan asas serta kebajikan rakyat seperti perumahan, kesihatan, sekolah dan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo akan memberi kesan positif secara langsung terhadap pembangunan negeri ini.

Sehubungan itu, beliau akan memastikan kawasan Gum-Gum disenaraikan untuk mendapat peruntukan membina serta membaiki rumah berikutan banyak rakyat di kawasan berkenaan masih memerlukan rumah dan pembaikan rumah.