Beri perkhidmatan terbaik

Beri perkhidmatan terbaik

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Persatuan Exco Perpustakaan Brunei Darussalam (BLA) telah menganjurkan bengkel sehari, hari ini, di bawah Program Memperkasa Kepimpinan (ELP) bagi meningkatkan pengetahuan dan pengalaman sebagai seorang pemimpin dalam sesebuah perpustakaan.

Bengkel yang berlangsung di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka, Lambak Kanan itu disertai seramai 12 ahli Exco yang turut dihadiri oleh Yang Di-Pertua Persatuan Perpustakaan Brunei Darussalam, Dayang Nellie binti Dato Paduka Haji Sunny.

Antara tujuan Program ELP itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan sebagai seorang penyampai, memberi perkhidmatan pelanggan yang baik dan berkongsi pengalaman ketika memikul tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

Salah seorang ahli Exco iaitu Penolong Pegawai Perpustakaan Tingkat 1 di Pusat Dakwah Islamiah, Dayang Nor Rahidah binti Haji Abdul Ghani turut mengongsikan pengalaman sebagai seorang pemimpin semasa bengkel itu.

Sebagai seorang pemimpin, adalah penting untuk memahami antara pemimpin dan pekerja bawahannya dengan memahami kekuatan, kelemahan, kebimbangan dan aspirasi mengikut kemampuan individu, ujarnya.

Ahli Exco BLA bergambar ramai selepas bengkel tersebut.
Ahli Exco BLA bergambar ramai selepas bengkel tersebut.

Dayang Nor Rahidah yang mengikuti bengkel kepimpinan di Bangkok, Thailand anjuran International Federation of library Associations and Institutions (IFLA), baru-baru ini, turut menjelaskan mengenai posisi utama pemimpin dalam persatuan perpustakaan, menggambarkan laluan kepimpinan dalam persatuan dan juga beberapa ciri-ciri utama kepimpinan efektif.

“Memberi bantuan dan saranan jika mereka memerlukannya, terutama semasa kemunduran atau perubahan dan juga mempelajari untuk menerima kejayaan dan juga kegagalan mereka,” kata Dayang Nor Rahidah.

Ahli Exco yang berhasrat menganjurkan bengkel seterusnya, akan mengetengahkan tajuk-tajuk seperti mengenali teknologi yang berkaitan dengan penggunaan teknologi masa kini, di samping menyeru ahlinya agar mengikuti hal ehwal semasa bagi membantu memberikan perkhidmatan terbaik bagi penggunanya.

ARTIKEL YANG SAMA