Beri perkhidmatan terbaik kepada para jemaah

Beri perkhidmatan terbaik kepada para jemaah

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Seramai 20 kakitangan perubatan, termasuk enam doktor dan 14 jururawat serta kakitangan bantuan yang terpilih dalam rombongan pegawai perubatan haji bagi tahun ini telah diraikan dalam Majlis Doa Selamat yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan.

Majlis yang turut meraikan bakal jemaah Haji Kementerian Kesihatan dan jabatan-jabatan di bawahnya itu dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof selaku tetamu kehormat.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya menasihatkan para pegawai perubatan haji tahun ini agar dapat memberikan perkhidmatan perubatan yang baik kepada para jemaah haji Brunei, dan berharap mereka akan dapat bekerjasama dan bersikap pemedulian dengan para jemaah.

Menurut beliau, peranan rombongan pegawai perubatan haji adalah untuk memberikan sokongan perkhidmatan pesakit luar, perkhidmatan rawatan dalam wad bagi jemaah lelaki dan perempuan, perkhidmatan kecemasan 24 jam, perkhidmatan farmasi, perkhidmatan ambulans serta penghantaran dan mengiringi pesakit yang perlu dirujuk ke Hospital Arab Saudi.

Seperti lazimnya, sebahagian daripada pegawai-pegawai perubatan haji berkenaan akan bertolak lebih awal dan yang lainnya akan mengiringi jemaah haji di setiap penerbangan.

Yang Berhormat Pehin Haji Adanan menyampaikan surat lantikan kepada Ketua Rombongan Pegawai Perubatan, Dr Haji Zulhilmi.
Yang Berhormat Pehin Haji Adanan menyampaikan surat lantikan kepada Ketua Rombongan Pegawai Perubatan, Dr Haji Zulhilmi.

Rombongan pegawai perubatan pada tahun ini diketuai oleh Pakar dan Ketua Jabatan Perubatan Rawatan Rapi, Dr Haji Zulhilmi bin Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah.

Dr Haji Zulhilmi semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya menjelaskan lapan pegawai perubatan akan pergi awal untuk berurusan dengan pihak kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan lesen dan kebenaran membuka klinik di kota-kota suci Mekah al-Mukaramah dan Madinah Al-Munawarah, seterusnya membuat persediaan untuk memberi perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan dan perubatan bagi para jemaah haji Brunei Darussalam.

Manakala itu, 12 pegawai perubatan lainnya akan pergi bersama para bakal jemaah haji negara yang akan bertolak pada 30 dan 31 Ogos ini, jelasnya.

Majlis keagamaan itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan derma kepada lapan orang bakal jemaah haji dari Kementerian Kesihatan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang mana majlis ini merupakan salah satu aktiviti untuk meraikan bakal-bakal jemaah haji kementerian tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA