Beri Pogba peluang

Beri Pogba peluang

PARIS, 6 Okt – Perancang permainan Manchester United Paul Pogba wajar diberi lebih masa dan ruang mempamerkan kualitinya di England, berikutan jangkaan ke atas pemain itu sangat tinggi susulan nilai harganya, kata pengendali Perancis, Didier Deschamps.

Pogba yang membantu Perancis mara ke final Euro 2016 pada Julai lalu, menunjukkan permulaan bercampur di Old Trafford sejak kembali Manchester daripada Juventus pada Ogos lalu dengan rekod perpindahan dunia 89 juta pound.

Pemain Perancis itu mendapat kritikan bulan lalu susulan kekalahan United kepada Manchester City dan Feyenoord, namun dia menjaringkan gol pertama untuk kelabnya ketika mereka menewaskan Leicester City, 4-1, sebelum kemudian mempamer persembahan longlai ketika Red Devils terikat 1-1 dengan Stoke City.

“Dia berjaya mengubah pasukan kelabnya dan ketika ini sedang mencari keserasian dengan rakan baharu dalam pasukan,” kata Deschamps. “Dengan adanya Paul, kita sentiasa mahukan yang lebih. Apabila dia melakukan sesuatu yang neutral, ia tidak akan mencukupi.

“Dia adalah seseorang yang kita jangka akan membantu dalam semua perlawanan…kadang-kadang jangkaan itu terlalu besar. Kita tahu apa yang dikehendakinya. Pogba memenangi empat kejuaraan Serie A dan dua Piala Itali sepanjang bersama Juventus.

Pogba terpaksa memikul beban untuk mengimbangi persembahan dengan nilainya selepas menyertai Man United pada musim panas. – AFP
Pogba terpaksa memikul beban untuk mengimbangi persembahan dengan nilainya selepas menyertai Man United pada musim panas. – AFP

Minggu lalu, Deschamps memberi amaran kepada pemain Barcelona Jeremy Mathieu bahawa dia sepatutnya memberitahu perkiraan untuk bersara daripada tugasan antarabangsa lebih awal setelah memanggil pertahanan itu tiga hari sebelum ini.

Mathieu hanya bermain lima kali untuk Perancis sebelum menolak panggilan antarabangsa untuk Jumaat ini dan kemudian pada Ahad mengumumkan keputusannya adalah muktamad.

Deschamps diketahui bersikap konservatif dalam pemilihan pemain pertahanan kerana lebih mementingkan pengalaman berbanding pemain muda, tetapi Mathieu berusia 32 tahun itu tidak dianggap sebagai pilihan pertama.

Deschamps mungkin memilih Raphael Varane dari Real Madrid dan Laurent Koscielny Arsenal di bahagian tengah bersama pemain Manchester City Bacary Sagna dan Lucas Barcelona Digne di bahagian sayap.

Beliau juga memanggil pertahanan Basque Aymeric Laporte buat kali pertama selepas pertahanan Athletic Bilbao berusia 22 tahun itu akhirnya memilih untuk mewakili Perancis dan bukannya Sepanyol. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA