Beri saya 5 tahun lagi – Adenan

Beri saya 5 tahun lagi – Adenan

KUCHING, 19 Ogos – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini berkata beliau tidak bercadang untuk memegang jawatan ketua eksekutif negeri itu untuk tempoh yang lama.

“Berilah kepada saya lima tahun sahaja lagi. Apabila berakhir tempoh lima tahun itu, saya akan berusia 76 tahun. Saya tidak mahu meneruskannya lagi.

“Sekarang, saya dah jadi Ketua Menteri lebih setahun. Saya sudah buat itu dan ini. Tetapi, saya mahu buat banyak lagi untuk manfaat negeri ini dan rakyatnya,” katanya ketika melancarkan kerja menaik taraf tiga projek jalan raya berharga RM100 juta yang dibiayai kerajaan negeri di sini.

Sarawak mengadakan pilihan raya negeri pada 2011 dan penggal dewan undangan negeri semasa yang mempunyai 71 kerusi akan berakhir menjelang Jun tahun depan.

Projek itu melibatkan kerja menaik taraf Jalan Datuk Stephen Yong yang menghubungkan Jalan Batu Kawa kepada lebuh raya dua hala empat lorong daripada lebuh raya dua lorong sehala yang ada sekarang; pembinaan jalan bawah di Persimpangan Bertingkat Datuk Temenggong Abang Kapali Abang Akip; dan menaik taraf Jalan Kubah Ria (dari persimpangan lampu isyarat Semarakan) ke Bulatan E-Mart.

Tan Sri Adenan Satem (tengah) ketika melancarkan kerja menaik taraf jalan raya. – Bernama
Tan Sri Adenan Satem (tengah) ketika melancarkan kerja menaik taraf jalan raya. – Bernama

Adenan berkata Sarawak perlu melaksanakan lebih banyak projek infrastruktur dan kemudahan.

“Contoh terbaik ialah Lebuh Raya Pan Borneo, yang melibatkan kos RM15 bilion. Ia merupakan projek infrastrukur yang amat besar untuk kita daripada kerajaan persekutuan,” katanya sambil menjelaskan bahawa lebih raya itu dijangka siap enam hingga tujuh tahun lagi.

Beliau berkata Sarawak juga merancang menambah elaun kebajikan untuk golongan yang memerlukan menjelang hujung tahun ini berikutan kenaikan kos sara hidup, di samping meneruskan usaha mendapatkan penurunan kuasa kepada negeri ini.

“Oleh itu, saya berharap rakyat Sarawak akan memberi kepada saya lima tahun lagi. Berilah mandat kepada saya pada pilihan raya negeri akan datang supaya saya dapat menerajui negeri ini selama lima tahun lagi untuk mencapai semua itu,” katanya. – Bernama