Beri tumpuan kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi

Beri tumpuan kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi

KOTA KINABALU, 1 Jun (Bernama) – Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menggalakkan penyelidik termasuk di institusi pengajian tinggi tempatan untuk terus memberi tumpuan terhadap bidang-bidang yang saling melengkapi dan menambah nilai kepada laluan ke arah pembangunan dan kemajuan ekonomi.

Musa berkata meningkatkan serta menyediakan sumber bagi penduduk negeri ini mendapatkan pengetahuan akan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan Sabah.

“Kami (Sabah) bekerjasama dengan pihak berkepentingan berkaitan untuk menubuhkan institusi pengajian tinggi termasuk pusat kemahiran bagi memenuhi keperluan untuk kegunaan tertentu seperti dalam sektor minyak dan gas serta untuk pemprosesan hiliran produk pertanian termasuk minyak sawit.

“Selain Universiti Malaysia Sabah, kami ada hab pendidikan di Sandakan, pusat kemahiran di beberapa daerah dan menyediakan akses kepada lepasan sekolah yang bercadang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi tanpa perlu pergi jauh,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Persidangan Kawalan Asia ke-10 di sini hari ini

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Persidangan tiga hari bertemakan ‘Kemunculan Teknik Kawalan Ke Arah Dunia Mampan’, antara lain merupakan platform kepada penyelidik terutama dalam Kejuruteraan Kawalan untuk berkongsi pengalaman dan hasil penyelidikan yang boleh digunakan untuk manfaat orang ramai. Musa berkata tema itu tepat pada masanya kerana Sabah memberi penekanan kepada kesihatan dan perlindungan alam sekitar sebagai sebahagian daripada komitmen negeri itu ke arah pembangunan mampan dan memerlukan kepakaran dalam menguruskan sumber-sumber dengan lebih baik di samping meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan rakyat.

“Skop persidangan ini termasuk isu-isu berkaitan teknologi hijau dan kelestarian, tenaga boleh diperbaharui, sistem alam sekitar dan pertanian yang sangat relevan kepada Sabah,” katanya sambil menambah bahawa kaedah kawalan dan teknologi baharu juga telah mengurangkan kesan ke atas alam sekitar.