Beribu-ribu adakan bantahan di kilang besi

Beribu-ribu adakan bantahan di kilang besi

HANOI, 2 Okt – Beribu-ribu warga Vietnam hari ini mengepung sebuah kilang besi Taiwan, sebahagiannya memanjat pagar dan memegang sepanduk menuntut ia ditutup, ketika kemarahan tercetus terhadap firma itu kerana membuang sisa toksik ke dalam laut, membunuh bertan-tan ikan.

Orang ramai yang menaiki motosikal dan berjalan kaki berhimpun di kilang Formosa di tengah wilayah Ha Tinh, dengan beberapa orang memegang pelekat bertulis; “Pihak berkuasa, tolong tutup kilang Formosa bagi masa depan negara” manakala yang lain menjerit penuh kemarahan.

Ikan mati dan beberapa hidupan marin lain mula terdampar di pantai-pantai tengah Vietnam dalam April, bencana ekologi terburuk negara dalam berdekad-dekad yang menjejaskan kehidupan di bandar-bandar pesisir pantai di mana menangkap ikan adalah sumber utama pendapatan mereka.

Kilang Taiwan, Formosa yang membina kilang besi bernilai berbilion-bilion dolar di kawasan itu, dipersalahkan bagi bencana itu dan didenda $500 juta.

Kerajaan mengatakan ia akan mula membayar nelayan terjejas dalam Oktober dan mengesahkan minggu lalu bahawa pembayaran akan dibuat dalam jumlah antara $130 sehingga $1,600 seorang bergantung kepada kerugian yang dikira antara April dan September.

Bantahan hari ini menuntut pampasan tambahan. “Pembantah yang terjejas secara langsung oleh skandal Formosa, menuntut pampasan dan meminta kilang itu ditutup,” kata saksi, Hoang Sy Son memberitahu AFP.

Gambar-gambar dan video di media sosial menunjukkan pembantah, diketuai seorang paderi Katolik, mengepung kilang besi itu di bandar Ky Anh sambil membaca petikan dari Bible.

“Banyak anggota dan kenderaan keselamatan dikerahkan di sini namun tiada pertempuran dilihat,” tambah Son, bercakap dari tapak bantahan.

AFP walau bagaimanapun tidak dapat menghubungi pihak berkuasa bagi sebarang ulasan hari ini.

Bantahan berlaku beberapa hari selepas nelayan-nelayan dari kawasan itu memfailkan lebih daripada 500 saman undang-undang menuntut pampasan tambahan daripada kerajaan atas bencana itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA