Beribu-ribu gesa tindakan perubahan iklim

Beribu-ribu gesa tindakan perubahan iklim

SYDNEY, 29 Nov (AFP) – Beribu-ribu orang berarak di seluruh Australia hari ini pada hari ketiga rapat seluruh dunia bagi meningkatkan tekanan ke atas pemimpin dunia untuk memeterai perjanjian mengenai pengurangan gas rumah hijau di rundingan penting di Paris yang masih lagi dicengkam ketakutan.

Kira-kira 150 pemimpin termasuk Presiden AS Barack Obama, Xi Jinping dari China, Narendra Modi dari India dan dari Rusia, Vladimir Putin akan menghadiri persidangan kemuncak iklim PBB bermula Isnin, ditugaskan untuk mencapai satu perjanjian iklim universal pertama.

Matlamatnya adalah untuk mengehadkan pemanasan purata global kepada dua darjah Celsius, atau mungkin kurang, atas tahap pra-Revolusi Industri dengan mengekang emisi bahan api fosil yang dipersalahkan bagi perubahan iklim.

Rapat umum menuntut pengekangan pencemaran karbon sudah pun meningkat semenjak Jumaat lalu, dengan perarakan di seluruh Australia memulakan hari terakhir protes dikuasai manusia.

Rapat serupa juga dirancang di Rio de Janeiro, New York dan Mexico City, dengan 1,000 orang mengharungi hujan di Seoul ketika saintis memberi amaran taufan super, kemarau dan peningkatan tahap laut akan membanjiri kawasan besar jika tindakan tegas tidak diambil.

Orang ramai memegang pelekat dan pemidang ketika berarak sebelum Persidangan Kemuncak Perubahan Iklim Dunia di Paris, di jalan utama Adelaide, Selatan Australia. Seluruh dunia berarak menggesa tindakan diambil menangani perubahan iklim global. – Reuters
Orang ramai memegang pelekat dan pemidang ketika berarak sebelum Persidangan Kemuncak Perubahan Iklim Dunia di Paris, di jalan utama Adelaide, Selatan Australia. Seluruh dunia berarak menggesa tindakan diambil menangani perubahan iklim global. – Reuters

“Tiada Planet B,” menurut satu pelekat dibawakan di Sydney di mana 45,000 orang berhimpun, manakala satu lagi berbunyi: “Perpaduan pada skala global.”

“Tiada yang lebih penting boleh saya lakukan pada masa ini berbanding mengutarakan mengenai perubahan iklim,” kata Kate Charlesworth, seorang doktor dan ibu dari Sydney.

“Dalam masa 10 tahun, anak-anak kita akan berkata, ‘Mak tahu tak mengenai ini? Apa yang dilakukan semua orang’?,”

Satu protes besar-besaran di Melbourne pada Jumaat, memulakan kempen global dengan rapat pada Sabtu dari New Zealand ke Filipina, Bangladesh, Jepun, Afrika Selatan dan Britain turut diadakan.

Satu rapat umum 5,000 orang di Adelaide hari ini menumpukan ke atas impak global perubahan iklim ke atas kesihatan, keselamatan makanan dan pembangunan, khususnya di kalangan negara miskin.

“Mereka yang tidak banyak membawa impak kepada masalah itu merasakan natijahnya lebih awal dan teruk, seperti saudara kita di Pasifik,” kata Judee Adams, seorang pekempen komuniti di Oxfam.

Kebanyakan negara paras rendah seperti Kiribati, Tuvalu dan Pulau Marshal bimbang mereka boleh hilang di sebalik ombak secara keseluruhan jika paras air laut terus meningkat.

Manakala mesej untuk mengekang pemanasan global dan membantu negara miskin menangani perubahan iklim turut disuarakan pemimpin agama di Paris yang menyerahkan satu petisyen penandatangan hampir 1.8 juta dari seluruh dunia.

Dalam masa beberapa minggu lalu, badan iklim PBB mengatakan purata suhu global bagi tahun 2015 dijangka naik satu darjah Celsius di atas paras pra industri, hampir separuh had yang ditetapkan pada sidang Paris.

Dan penganalisis mengatakan ikrar pengekangan karbon diserahkan oleh negara-negara untuk meningkatkan perjanjian Paris, jika dipatuhi sepenuhnya, akan meletakkan bumi dalam laluan bagi pemanasan tiga darjah Celcius.