Beribu-ribu larikan diri taufan landa Filipina

Beribu-ribu larikan diri taufan landa Filipina

MANILA, 10 Mei (AFP) – Taufan Noul menghempas ke kawasan utara Filipina hari ini, mencetuskan amaran kemungkinan banjir kilat, tanah runtuh dan ombak besar akibat taufan dan menyebabkan 3,000 orang melarikan diri dari kediaman mereka.

Taufan melanda wilayah Cagayan lewat hari ini dan dijangka bergerak ke utara ke arah Jepun, menurut agensi kaji cuaca kerajaan.

Pejabat pertahanan awam mengatakan tiada laporan segera mengenai kematian berkaitan taufan, namun ia memutuskan bekalan kuasa dalam kebanyakan wilayah, menyukarkan mereka mendapatkan data.

Ahli kaji cuaca mengatakan pergerakan Noul sedikit perlahan sebelum sampai ke Filipina, namun ia juga membawa angin sekencang 220kmsj.

Di Taiwan, pihak berkuasa memberi amaran kepada pelaut mengenai angin kencang dan ombak besar serta memindahkan hampir 1,000 pelancong dari sebuah pulau di pesisir tenggara.

Penduduk di sepanjang Teluk Manila memperbaiki bumbung rumah mereka menjelang ketibaan Taufan Noul di utara Filipina. Lebih 2,000 orang melarikan diri dari rumah mereka ketika Taufan Noul menghampiri utara Filipina, mencetuskan amaran kemungkinan banjir kilat, tanah runtuh dan ombak umpama tsunami. – AFP
Penduduk di sepanjang Teluk Manila memperbaiki bumbung rumah mereka menjelang ketibaan Taufan Noul di utara Filipina. Lebih 2,000 orang melarikan diri dari rumah mereka ketika Taufan Noul menghampiri utara Filipina, mencetuskan amaran kemungkinan banjir kilat, tanah runtuh dan ombak umpama tsunami. – AFP

“Ini adalah taufan yang sangat berbahaya. Ia merupakan yang terkuat setakat ini tahun ini,” kata Rene Paciente, ketua bahagian cuaca marin Filipina.

Lebih daripada 1,680 orang di Cagayan dipindahkan dari kampung pesisir pantai sebelum taufan melanda dan ia masih lagi diteruskan, kata ketua pertahanan awam kawasan, Norma Talosig.

“Mereka sudah dipindahkan ke kawasan tinggi, bukan dalam kampung mereka. Mereka dibantu oleh kerajaan tempatan menggunakan bas dan trak, malah ambulans,” dia memberitahu AFP.

Lebih 2,000 dijangka melarikan diri namun Talosig melahirkan kebimbangan sebahagian orang enggan pergi kerana bersikap lebih berpuas hati dengan keadaan di sana.

“Cuaca baik di sana awal hari ini, jadi agar sukar untuk menyampaikan mesej,” katanya. “Sesetengah orang bimbang mengenai keselamatan barangan milik mereka yang ditinggalkan. Kami sudah melakukan yang terbaik, berhasrat mencapai kematian sifar, namun usaha kami sia-sia sahaja jika orang ramai tidak mahu mendengar,” tambahnya.“

Lebih 1,200 orang dipindahkan dari kediaman mereka di wilayah jiran Isabela sebagai langkah berjaga-jaga sebelum taufan, kata pejabat pertahanan awam.