Beriga kepentingan berhemat

Beriga kepentingan berhemat

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Tabung Amanah Pekerja (TAP), hari ini, telah menganjurkan Ceramah Celik Kewangan bersempena Hari AMBD 2015 di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Menurut kenyataan AMBD, ceramah yang dibahagikan kepada dua topik, iaitu Perancangan Kewangan dan Skim Cepat Kaya, ini bertujuan untuk memberigakan kepentingan pengurusan kewangan secara berhemat dan juga cara menghindari diri daripada Skim Cepat Kaya dan penipuan kewangan.

Selain itu, ia juga diadakan selaras dengan Pengisytiharan Hari Menabung Kebangsaan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri semasa Majlis Perasmian Hari AMBD 2015, kelmarin.

Ceramah Perancangan Kewangan telah disampaikan oleh Perancang Kewangan Islam Bertauliah daripada Insurans Islam TAIB, Haji Shamsul bin Haji Mohammad, bagi sesi pagi dan Perancang Kewangan Islam Bertauliah daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Dayang Rozielawati binti Haji Jamil, bagi sesi petang.

Antara yang hadir mendengar Ceramah Celik Kewangan sempena Hari AMBD 2015, kelmarin.
Antara yang hadir mendengar Ceramah Celik Kewangan sempena Hari AMBD 2015, kelmarin.

Manakala itu, ceramah Skim Cepat Kaya telah disampaikan oleh wakil daripada Unit Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan, AMBD.

Antara yang hadir mendengar ceramah tersebut ialah wakil daripada majlis-majlis perundingan kampung (MPK), Persatuan Kemajuan Insan (KESAN), pemilik syarikat-syarikat kecil dan sederhana, penerima-penerima bantuan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan juga orang ramai.

Hari AMBD 2015 akan terus dibukakan kepada orang ramai esok dari jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam.

ARTIKEL YANG SAMA