Berikan saingan terbaik

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah bersabda agar para atlet jangan mengambil ringan penyertaan negara, dan perlu memberikan saingan terbaik kepada pihak lawan.

Sabda Duli Yang Teramat Mulia itu telah disampaikan oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi ketika Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang menyertai kejohanan Asian Indoor and Martial Arts Games (AIMAG) yang akan diadakan di Ashgabat, Turkmenistan bermula pada 17 hingga 27 September ini.

Kontinjen negara dianggotai seramai empat orang terdiri daripada seorang atlet iaitu Ahmad Taufiq M Murni dan tiga orang pegawai termasuk Chef de Mission, pegawai urusetia dan jurulatih.

Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya mengucapkan tahniah kepada atlet terpilih untuk mewakili negara dan menyarankan kepada atlet, walaupun penyertaan negara kali ini adalah hanya sebagai tanda penyertaan. Namun kesempatan seperti ini janganlah diambil ringan dalam memberikan saingan terbaik kepada pihak lawan di dalam pertandingan. Di samping mempunyai komitmen dan disiplin yang tinggi sebagai seorang atlet kebangsaan.

Duli Yang Teramat Mulia percaya dengan cara ini kita boleh menilai mutu dan taraf keupayaan kita sebagai seorang atlet kebangsaan, selain kemampuan kita untuk meningkatkan kebolehan kita dalam mencapai kejayaan. Atlet juga seharusnya mempunyai sifat-sifat seperti sentiasa fokus, daya saing yang kuat dan kekuatan mental, dalam menghadapi pertandingan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain ketika menyampaikan ucapan dan membacakan sabda Duli Yang Teramat Mulia.
Chef de Mission kontinjen negara ke Kuala Lumpur ketika menerima bendera negara daripada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain.

Dalam kesempatan ini, Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya ingin mengingatkan atlet yang akan menyertai Sukan AIMAG supaya akan mematuhi akta dan peraturan ‘Anti-Doping’ yang dikuatkuasakan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dan seterusnya menjaga nama baik negara.

Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam disempurnakan oleh, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain kepada Kolonel Zahrin bin Haji Zunaidi selaku Chef De Mision Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Asian Indoor and Martial Arts Games ke-5.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain dalam ucapannya menyampaikan syabas kepada atlet terpilih dan mendoakan semoga atlet akan mempersembahkan yang terbaik di kejohanan itu dengan membawa kejayaan serta kecemerlangan yang akan menjadi kebanggaan negara.

Katanya, kejohanan AIMAG adalah untuk mempromosikan sukan dan kesihatan sebagai nilai utama dalam kehidupan. Oleh itu, penyertaan kejohanan ini adalah selaras dengan tujuan sukan Negara Brunei Darussalam yang amat menitik beratkan peranan sukan dalam mendokong pembangunan individu, masyarakat dan negara.

“Pada peringkat individu penglibatan aktif dalam sukan akan dapat menyumbang kepada pembentukan sahsiah positif, kesedaran diri, dan daya saing yang tinggi. Pada peringkat masyarakat pula, sukan dapat meningkatkan tahap kesihatan komuniti dan produktiviti sementara di peringkat Negara sukan antara lain dapat menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara melalui penyertaan dan sumbangan di kalangan belia dan sukan.”

Kejohanan AIMAG merupakan kejohanan multi-sport pancontinental diadakan setiap empat tahun untuk atlet-atlet dari seluruh Asia, selepas penggabungan Asian AIMAG. Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) dan ianya digambarkan sebagai acara multi-sport Asia kedua terbesar selepas Sukan Asia. Edisi AIMAG terakhir diadakan adalah pada tahun 2013 di Incheon, Republik Korea.

Pada AIMAG kelima ini, Brunei Darussalam akan menyertai satu acara sukan dari 21 acara sukan dipertandingkan iaitu billiard. Kontinjen negara dijangka bertolak ke Ashgabat, Turkmenistan pada 13 September ini nanti.