Berikan tumpuan serius

Berikan tumpuan serius

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam bersabda menyeru para atlet untuk menunaikan tanggungjawab dan memberikan tumpuan serius semasa dalam pertandingan.

Duli Yang Teramat Mulia meluahkan harapan agar atlet sepak takraw negara yang akan beraksi pada Sukan Pantai Asia ke-5 di Da Nang, Vietnam nanti dapat mempertahankan pencapaian mereka merangkul pingat emas di Phuket, Thailand pada tahun 2014.

Walaupun negara hanya menyertai acara sepak takraw, Duli Yang Teramat Mulia yakin atlet yang terpilih adalah yang terbaik dan matang.

Duli Yang Teramat Mulia bersabda demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah kepada kontinjen negara ke Sukan Pantai Asia ke-5 di Da Nang, Vietnam.

Teks sabda Duli Yang Teramat Mulia dibacakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Awang Kifli. – Gambar oleh Muiz Matdani
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Awang Kifli. – Gambar oleh Muiz Matdani

Menurut Duli Yang Teramat Mulia, selain mempunyai pengalaman dalam acara yang mereka sertai, mereka juga mempunyai semangat daya saing yang tinggi untuk mempertahankan prestasi mereka.

Duli Yang Teramat Mulia menekankan, apa yang utama ialah pasukan ini perlu fokus sebagai satu pasukan yang kukuh dan komited untuk menunjukkan yang terbaik.

“Komitmen ini perlu dipikul dan ditunaikan oleh atlet untuk meraih kecemerlangan dan seterusnya mengharumkan nama negara,” sabdanya.

Sukan Pantai yang diadakan dua tahun sekali dengan Vietnam menjadi tuan rumah tahun ini merupakan salah satu program utama dalam kalender Majlis Olimpik Asia (OCA).

Selain sebagai ahli gabungan, adalah menjadi tanggungjawab negara untuk menyertai sukan berprestij seperti ini secara kontinjen. Kontinjen negara untuk temasya yang bermula dari 24 September hingga 3 Oktober itu terdiri daripada Chef de Mission, enam orang atlet, seorang pengurus, seorang jurulatih dan seorang ahli fisioterapi.

Pada majlis hari ini, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyerahkan bendera negara kepada Chef de Mission kontinjen negara, Awang Kifli bin Haji Jaafar.

Turut hadir menyaksikan penyerahan bendera negara itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Kontinjen negara dijangka bertolak ke Da Nang, Vietnam pada 21 September ini dan ini merupakan penyertaan kelima Negara Brunei Darussalam dalam Sukan Pantai Asia selepas penyertaan di Phuket, Thailand pada 2014.

ARTIKEL YANG SAMA