Berinisiatif tingkatkan produktiviti

Berinisiatif tingkatkan produktiviti

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mac – Sejajar dengan belanjawan tahun ini yang berdasarkan Programme and Performance Budgeting, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Mohd Jaafar mencadangkan semua pihak agar lebih berinisiatif untuk meningkatkan produktiviti sektor awam dan swasta di negara ini.

Ketika berucap semasa sesi ucapan penangguhan pada hari ke-12 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini, beliau menyuarakan rasa bangga bahawa negara ini masih dapat menyediakan peruntukan berjumlah $5.6 bilion di sebalik krisis harga minyak global yang menjejaskan pendapatan negara, walaupun menurun sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kita berasa lega dengan kenyataan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II bahawa Negara Brunei Darussalam masih mempunyai rizab kewangan yang mencukupi untuk menampung keperluan generasi akan datang,” katanya.

Namun, beliau juga menyuarakan kekhuatirannya terhadap strategi-strategi yang diamalkan oleh setiap kementerian untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi, termasuk strategi menangani kelambatan proses pembangunan.

“Apa yang dikhuatiri, resolusi dan langkah penyelesaian yang dirancang oleh kementerian tidak sampai ke peringkat pelaksana, maka para pegawai yang diamanahkan hendaklah mengamalkan sikap jujur dan amanah.”

pg01_160322_MMN_Logo1

Yang Berhormat Dato Haji Abdullah juga membangkitkan persoalan mengenai kemudahan dan peruntukan yang diterima oleh Ahli Yang Berhormat berhubung kait dengan titah Baginda Sultan semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Majlis Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara pada 5 Mac lalu.

Beliau mencadangkan supaya disediakan pegawai penyelidik dan pembantu pegawai penyelidik untuk kegunaan ahli-ahli majlis Mesyuarat Negara yang dilantik pada bila-bila masa diperlukan bagi mengurangkan perkara-perkara yang kurang signifikan dan tidak strategik daripada dibawa ke dalam dewan.

Sementara itu, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah binti Haji Sulaiman juga menyambut baik Programme and Performance Budgeting yang dimulakan pada tahun ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Berucap buat kali terakhir sebelum menamatkan penggalnya sebagai ahli Yang Berhormat, Datin Paduka Hajah Salbiah juga mengingatkan dewan yang bersidang supaya terus melaksanakan teguran-teguran yang dibuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Haji Zulkipli bin Haji Abdul Hamid pula berkata, mesyuarat yang telah dijalankan merupakan platform untuk menilai sistem pentadbiran, pembentukan serta pelaksanaan dasar dan program kerajaan, selain membentuk undang-undang dan belanjawan kerajaan.

Dalam usaha untuk menjadikan negara lebih bersedia menghadapi cabaran era globalisasi, beliau berharap rancangan jangka panjang dapat ditangani dengan lebih bijaksana dan efektif serta lebih fokus dan teratur, seterusnya menyambut baik penubuhan Badan Peneraju Khusus yang melibatkan inisiatif sektor industri dan swasta, sambil berhadap penglibatan golongan muda dapat dipertingkatkan lagi.

Beliau juga menyentuh mengenai modal insan sebagai aset negara paling berharga dan berharap badan khas yang bertanggungjawab dapat menyediakan dasar perancangan sumber tenaga manusia yang diperkenankan penubuhannya pada Disember 2013 dan Majlis Perancangan Tenaga Manusia Kebangsaan yang dalam perancangan akan dapat membantu kerajaan untuk merancang penghasilan modal insan negara yang lebih menyeluruh, terarah dan berjadual.

Menyentuh mengenai isu produktiviti, beliau mencadangkan agar dikenal pasti bidang kemahiran yang sesuai dengan ‘orang Brunei’ yang boleh membantu meningkatkan inovasi dan produktiviti.

Beliau seterusnya menyarankan agar dibudayakan dan diinstitusikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai landasan dalam peningkatan produktiviti.

Juga disentuh ialah pelaksanaan pendidikan awal yang menurutnya memberi kesan positif kepada pembelajaran di peringkat berikutnya, sambil berharap pendidikan awal universal dan berkualiti tinggi sudah sedia untuk dilaksanakan, sementara untuk bersaing di peringkat global pelajar negara ini harus memberikan penekanan kepada mata pelajaran Sains dan Matematik.

Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Zasia binti Sirin pula mengetengahkan isu mengenai penglibatan pekerja wanita tempatan dalam sama-sama membangun dan memajukan negara ini.

Menurut beliau, golongan wanita yang berpendidikan tinggi sudah sama setanding dengan golongan lelaki, malah jumlah kaum wanita di institusi pendidikan tinggi di negara ini adalah lebih ramai daripada kaum lelaki.

Namun katanya, kebanyakan pekerja wanita bekerja di peringkat pertengahan berbanding hanya sebilangan kecil sahaja kaum wanita yang diberi kepercayaan untuk memegang jawatan di peringkat atasan.

ARTIKEL YANG SAMA