Berita anak damit dijumpai palsu

Berita anak damit dijumpai palsu

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Penemuan anak damit di sekitar kawasan hutan Kampung Kilanas yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook adalah palsu semata-mata.

Pasukan Polis Diraja Brunei dalam satu kenyataan hari ini mengatakan berita itu adalah tidak benar dan menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan dan menyebarkan maklumat yang tidak sah dan berasas.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mudah dan cepat mempercayai perkara tersebut dan berasa cemas dengan sebarang maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.

Perbuatan menyebarkan maklumat berunsur subversif dan mengancam kesejahteraan dan keselamatan awam merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Penggal 148 Akta Ketenteraman Awam Seksyen 34 yang boleh membawa hukuman penjara tiga tahun dan denda $3,000.

Manakala di bawah Penggal 24 Akta Hasutan Seksyen 4 pula yang melakukan atau cuba melakukan atau bersubahat melakukan hasutan sama ada melalui lisan, cetak, siaran jualan, edaran atau cetakan semula boleh dihukum penjara dua tahun dan denda $5,000 bagi kesalahan pertama.