Berita baik untuk penggemar kopi Itali

Berita baik untuk penggemar kopi Itali

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Itali, ada kalanya terasa rindu untuk menikmati semula kopi negara itu yang bukan sahaja segar dan sedap, malah penyediaannya juga mempunyai cara tersendiri dalam mengekalkan kualitinya.

Sekarang anda tidak perlu risau lagi kerana Segafredo Espresso Cafe yang terletak di Bangunan Hua Ho Tanjung Bunut dengan 100 peratus produk kopi halal telah dirasmikan, hari ini.

Hadir bagi melancarkan perasmiannya ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong berserta Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohammad.

Juga menyertai majlis memotong reben ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Segafredo Zanetti Espresso Worldwide Ltd, Pascal Heritier; Presiden Asia Coffee Shop Development and incharge of Japan Subsidiary, Toshiro Brian Mori; Ketua Pegawai Ekeskutif BONCAFE di Singapura, Joe Mohan dan Pengarah Urusan Segafredo Espresso Cafe Brunei, Francis Tee.

Dalam temu bual bersama Pascal Heritier mengenai kepentingan pengiktirafan sijil halal, beliau berkata memandangkan majoriti penduduk di negara ini adalah orang Islam, maka inilah peluang untuk menghormati tradisi dan memberikan produk halal yang berkualiti tinggi.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan isterinya Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohammad merasmikan Kafe Segafredo Espresso bersama Pengarah Urusan Francis Tee (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Segafredo, Pascal Heritier (tiga kiri) yang terletak di bangunan Hua Ho Tanjung Bunut, semalam.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan isterinya Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohammad merasmikan Kafe Segafredo Espresso bersama Pengarah Urusan Francis Tee (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Segafredo, Pascal Heritier (tiga kiri) yang terletak di bangunan Hua Ho Tanjung Bunut, semalam.
Pascal Heritier menyampaikan cenderahati kepada tetamu kehormat.
Pascal Heritier menyampaikan cenderahati kepada tetamu kehormat.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bergambar ramai bersama CEO dan kakitangan Segafredo.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bergambar ramai bersama CEO dan kakitangan Segafredo.

“Kami juga berharap penggemar kopi di negara ini yang dikira sebagai pengguna kopi tertinggi dengan pengambilan per kapita lebih daripada empat kilogram setahun berbanding Jepun kira-kira tiga kilogram, Korea Selatan lebih dua kilogram dan China hanya beberapa gram sahaja dapat menikmati espresso, cappuccino dan produk-produk kopi yang lain tanpa ragu-ragu, jelas Pascal Heritier.

“Dengan menyediakan kualiti produk secara berterusan, perkhidmatan efisien dan suasana mesra juga menjadi faktor penting yang boleh menarik lebih ramai pelanggan mengunjungi kafe ini,” ujar beliau lagi.

Dengan sasaran utama untuk menyediakan pengalaman kopi Itali sebenar, Segafredo telah pun menempatkan kedai di 50 buah negara dengan lebih daripada 330 buah kafe di seluruh dunia.

Sementara itu, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika ditemu bual melahirkan rasa gembiranya dengan pembukaan kafe yang mengambil kira-kira 90 peratus tenaga kerja tempatan.

“Pertama, saya merasa gembira dengan pembukaan Segafredo dari Itali yang bertaraf antarabangsa kerana ia memberi lagi satu peluang kepada penduduk negara ini untuk menikmati kopi daripada jenama berlainan. Jadi ini merupakan satu daya tarikan kepada peminat kopi,” jelasnya.

Beliau menambah, “Tetapi apa yang paling menggembirakan saya ialah mereka mengambil 90 peratus penduduk tempatan bekerja di restoran ini dan Insya Allah mereka bukan sahaja mengembangkan perniagaan di sini, malah memberikan peluang kepada rakyat tempatan mengetahui cara-cara membuat dan menghidangkan kopi.”

Menurut beliau lagi, dengan kemahiran ini, penduduk tempatan juga mempunyai peluang untuk bekerja di rangkaian Segafredo yang akan dibuka di negara-negara lain.

“Kedua, mereka ini sudah memohon untuk mendapatkan Pensijilan Halal Brunei, jadi ini lagi satu perkara yang baik dan memberikan persaingan imej jika kita membawa jenama ini keluar negara.

“Jadi saya berharap penduduk tempatan khususnya anak-anak muda yang belum mempunyai pekerjaan akan mengambil peluang ini untuk meraih pendapatan dan pengalaman,” jelas beliau.

Segafredo Espresso Cafe dibuka bermula jam 7:45 pagi hingga 11:45 malam kecuali hari Jumaat yang akan ditutup bermula jam 12 tengah hari hingga 2 petang.

ARTIKEL YANG SAMA