Berita buruk buat Gunners

Berita buruk buat Gunners

LONDON, 3 Mac (Reuters) – Masalah Arsenal dalam mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris bertambah parah apabila bakal kehilangan khidmat Petr Cech ketika turun menentang musuh tradisi Tottenham Hotspur, Sabtu ini.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata, kekalahan 2-1 kepada Swansea City awal pagi tadi jelas menunjukkan pasukannya kurang berkeyakinan.

“Pemain sangat kecewa tetapi mereka perlu bangkit segera memberi tindak balas,” kata Wenger selepas skuadnya mengalami kekalahan ketiga dalam tempoh lapan hari.

“Kami sudah tewas tiga perlawanan dan ia sentiasa menjadi detik sukar buat pasukan. Kami tidak bermimpi dan perlu realistik serta bangkit melakukan yang lebih baik.”

Apapun, kecederaan pangkal paha Cech harus berita buruk buat Wenger, apatah lagi penjaga gol itu disifatkan pemain terbaik kelab dengan jolokan The Gunners musim ini.

“Sebelum perlawanan Cech mengalami masalah pangkal paha dan saya fikir dia sedikit bergelut. Cech tidak akan bermain Sabtu ini dan saya tidak tahu berapa lama dia akan tersisih.”

Mengenai Koscielny pula Wenger berkata: “Beliau mengalami masalah betis dan tidak akan bermain Sabtu ini.”

Kecederaan berganda ini sudah tentu akan menyuramkan mood Wenger selepas keputusan permainan meninggalkan Arsenal di tempat ketiga, enam mata di belakang pendahulu Liga Perdana Leicester City.

ARTIKEL YANG SAMA