Berjaja tingkatkan ekonomi penduduk

Berjaja tingkatkan ekonomi penduduk

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 1 Mei – Kegiatan berjaja bukan sahaja memberikan peluang kepada penduduk atau masyarakat setempat untuk mengetengahkan produk-produk dan hasil kraf tangan mereka tetapi ia juga mampu untuk meningkatkan pendapatan penduduk kampung serta kegiatan perekonomian masyarakat berkenaan.

Di samping aspek perekonomian, menerusi kegiatan berjaja, penduduk setempat atau kampung mampu mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta meningkatkan suasana keharmonian kampung.

Perkara itu di antara yang dinyatakan oleh Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Tutong, Awang Shahminan bin Haji Tengah dalam ucapannya bagi mewakili Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali di Majlis Sambutan Adau Gayoh Sang Jati 2015 yang berlangsung di Dewan Pakatan Sang Jati Dusun, Bukit Udal, Tutong, hari ini.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking, penghulu, ketua-ketua kampung, ahli-ahli Pakatan Sang Jati Dusun serta penduduk kampung.

Terdahulu, Yang Dipertua Pakatan Sang Jati Dusun, Awang Chominah bin Sidin dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa bagi mewakili masyarakat Dusun di Brunei amat bersyukur kerana dapat meraikan acara sambutan yang diwarisi sejak turun temurun bersama-sama segenap lapisan masyarakat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

Awang Shahminan diberikan penerangan mengenai model rumah masyarakat Dusun.
Awang Shahminan diberikan penerangan mengenai model rumah masyarakat Dusun.
Awang Shahminan menyaksikan lebih dekat pameran yang diadakan semasa majlis sambutan itu, kelmarin.
Awang Shahminan menyaksikan lebih dekat pameran yang diadakan semasa majlis sambutan itu, kelmarin.

pg08_150502_c

Beliau berkata bahawa acara sambutan yang membawa tema Generasi Berwawasan Brunei 2035, Generasi Pendukung Bangsa, menunjukkan bahawa masyarakat Dusun juga berdiri teguh bersama-sama rakyat dan penduduk negara dalam sama-sama bertekad membangunkan bangsa dan negara ke arah mencapai Wawasan 2035.

Beliau turut menyatakan bahawa Pakatan Sang Jati Dusun yang usianya kini menjangkau lebih 50 tahun, mengorak langkah baru ke arah meningkatkan lagi perekonomiannya setelah lama tanpa kemajuan yang positif.

Dalam usaha untuk melangkah ke alam perekonomian baru itu, perkarangan Dewan Pakatan Sang Jati Dusun kini mempunyai sebuah kawasan bagi melaksanakan kegiatan mencuci dan servis kereta serta Pondok Tamu Muhibah Pakatan Sang Jati Dusun yang mula beroperasi pada Mac lalu.

Majlis diteruskan dengan Awang Shahminan menyempurnakan perasmian Pondok Tamu Muhibah Pakatan Sang Jati Dusun dan berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat produk-produk dan hasil kraf tangan penduduk kampung yang dijual di tamu muhibah berkenaan.

Gerai jualan yang turut diadakan di majlis sambutan itu.
Gerai jualan yang turut diadakan di majlis sambutan itu.

Di samping itu, Awang Shahminan juga berpeluang menyaksikan kegiatan permainan tradisional yang dipamerkan dan juga mencuba sendiri kaedah mengisar padi dengan menggunakan peralatan tradisional.

Majlis kemudian diserikan dengan persembahan pentas Ancayau dan juga Mengalai.

Sambutan itu merupakan salah satu usaha berterusan masyarakat Sang Jati Dusun untuk mengekalkan sambutan tradisi masyarakat berkenaan yang diwarisi sejak turun-temurun dan juga diharap dapat menggalakkan golongan muda masyarakat Dusun untuk terus mengamalkan adat-tradisi supaya ia tidak hilang di arus perubahan zaman moden.