Berjalan dalam suasana malam

Berjalan dalam suasana malam

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Persatuan CARE dan sukarelawan dari badan-badan tertentu, kelmarin, turut memperingati Earth Hour 2016, yang dianjurkan di seluruh dunia oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), dengan mengadakan aktiviti menarik iaitu trekking pada waktu malam di Taman Peranginan Tasek Lama.

Selain daripada trekking, para peserta juga belajar betapa pentingnya menjaga kebersihan dengan cara mengutip sampah sepanjang aktiviti dijalankan.

Aktiviti ini adalah sebagai tindakan secara sukarela oleh peserta untuk menunjukkan komitmen mereka kepada satu tindakan perubahan yang memberi manfaat kepada planet ini.

Acara yang disertai oleh seramai 300 orang peserta itu, bertujuan menyokong dan membantu WWF dalam menangani isu alam sekitar sebagai acara tahunan seluruh dunia dan menggalakkan komuniti global yang saling berkongsi peluang dan cabaran untuk mewujudkan dunia yang mapan dengan cara melakukan aktiviti luar secara sihat.

Para peserta membentuk angka 60 dalam usaha menyokong Earth Hour 2016.
Para peserta membentuk angka 60 dalam usaha menyokong Earth Hour 2016.
Para peserta berjalan malam dengan hanya berbekalkan lampu suluh.
Para peserta berjalan malam dengan hanya berbekalkan lampu suluh.

Di samping itu, ia juga bagi mewujudkan silaturahim sesama peserta yang menyertai aktiviti dan dalam masa yang sama berkongsi pendapat tentang Earth Hour, selain membantu pihak kerajaan dari segi pendidikan melalui kegiatan luar.

Dalam aktiviti berkenaan, para peserta bergelap selama sejam bermula 8.30 malam hingga 9.30 malam sambil membuat aktiviti sampingan di puncak Bukit Sarang Helang.

Aktiviti ini dianjurkan oleh Persatuan CARE Brunei Darussalam dengan bantuan daripada badan-badan persendirian, agensi-agensi kerajaan seperti pihak Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Paramedik, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe).