Berjalan kaki 10km yang menggerunkan

Berjalan kaki 10km yang menggerunkan

SEPANG, 18 Julai – Terpaksa berjalan kaki hampir 10 kilometer ke tempat penginapan di Istanbul, Turki selepas perkhidmatan kereta api dihentikan ketika cubaan rampasan kuasa di negara itu adalah pengalaman yang amat menggerunkan bagi seorang rakyat Malaysia, Siti Zarinah Mohd Yusoff.

Suri rumah berusia 50 tahun itu yang pergi ke Turki bagi melawat anaknya yang belajar di negara itu berkata, ketika kejadian, beliau bersama tujuh lagi anggota rombongan lawatan itu menaiki kereta api pada kira-kira pukul 10 malam selepas membeli-belah.

Katanya kereta api itu tiba-tiba berhenti di pertengahan jalan sebelum stesen Sultanahmet dan mereka mengambil keputusan untuk balik ke tempat penginapan dengan berjalan kaki kerana semua jalan sudah ditutup.

“Ketika berjalan selama lebih dua jam, kami langsung tidak menoleh ke belakang dan tidak berhenti walaupun penat kerana terlampau takut. Helikopter berlegar-legar di udara dan bunyi tembakan bertalu-talu.

“Ketika itu, kami hanya mampu berdoa agar kami selamat sampai ke pangsapuri,” katanya dengan sebak kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Siti Zarinah, 50, menceritakan pengalaman yang dihadapinya semasa cubaan rampasan kuasa oleh tentera di Istanbul, Turki sejurus tiba bersama 40 ahli rombongan rakyat Malaysia ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kelmarin. - Bernama
Siti Zarinah, 50, menceritakan pengalaman yang dihadapinya semasa cubaan rampasan kuasa oleh tentera di Istanbul, Turki sejurus tiba bersama 40 ahli rombongan rakyat Malaysia ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kelmarin. – Bernama

Beliau bersama 39 lagi pelancong Malaysia yang turut bersama-sama dalam rombongan itu tiba pada pukul 3.50 petang tadi menaiki pesawat Qatar Airways penerbangan QR846 dari Doha, Qatar selepas transit di bandar itu dari Istanbul.

Seorang lagi anggota rombongan itu, Mohd Sukki Othman berkata mereka hanya mengetahui mengenai kejadian sebenar apabila tiba di tempat penginapan selepas dimaklumkan oleh pelajar-pelajar Malaysia di sana.

Penceramah bebas yang lebih dikenali sebagai Ustaz Shauki itu bersyukur cubaan rampasan kuasa tersebut dapat dihentikan dalam tempoh yang singkat dan bandar itu kembali tenang seperti biasa.

“Pada malam itu kami melihat perarakan di jalan raya melalui tingkap pangsapuri, dengan orang ramai membunyikan hon kenderaan dan masjid-masjid melaungkan azan.

“Pada keesokan harinya, Istanbul kembali tenang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku dan tiada kesan kerosakan yang teruk dapat dilihat di bandar itu,” katanya.

Menurut laporan media, kerajaan Turki berjaya menggagalkan cubaan rampasan kuasa oleh pihak tentera yang mahu menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu. – Bernama