Berjalan kaki seluruh Sem. Malaysia selama 35 hari

Berjalan kaki seluruh Sem. Malaysia selama 35 hari

KEMAMAN, 14 Dis (Bernama) – Setelah berjalan kaki selama 35 hari mengelilingi Semenanjung Malaysia sejak 10 Nov lalu, Sabri Ali hari ini tiba di Padang Astaka Chukai di sini sekali gus menamatkan misi perjalanan solonya bagi tahun ini.

Sabri, 53, yang turut mengulangi misi penjelajahan ke-12 negeri, berjaya mengatasi rekodnya pada tahun lalu apabila menamatkan perjalanan sejauh 1,640km selama 35 hari berbanding tahun lalu sejauh 1,700km selama 40 hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam Kos Rendah Bukit Kuang itu berkata jarak perjalanannya pada tahun ini lebih singkat berbanding tahun lalu dengan bantuan ‘Google Maps’ yang mana beliau menggunakan arah jalan untuk pejalan kaki.

“Tahun lalu saya tak berapa cekap menggunakan Google Maps apabila saya menggunakan jalan untuk laluan kenderaan, dan tahun ini saya belajar daripada kesilapan, saya gunakan arah untuk pejalan kaki dan jarak perjalanan saya menjadi lebih pendek dan saya berjaya menamatkan misi saya dalam masa lebih singkat.

Gambar fail bertarikh 21 Disember 2014 menunjukkan Sabri Ali (tengah) selepas berjaya menamatkan misi berjalan kaki mengelilingi Semenanjung sejauh 2,500 kilometer secara solo selama 40 hari di Kemaman. – UM
Gambar fail bertarikh 21 Disember 2014 menunjukkan Sabri Ali (tengah) selepas berjaya menamatkan misi berjalan kaki mengelilingi Semenanjung sejauh 2,500 kilometer secara solo selama 40 hari di Kemaman. – UM

“Saya bersyukur, kerana diberikan kesihatan yang baik yang membolehkan saya meneruskan perjalanan meskipun perjalanan ini agak mencabar dengan gangguan binatang seperti anjing liar dan monyet yang besar serta keadaan cuaca panas terik dan hujan lebat,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Padang Astaka Chukai di sini hari ini.

Ketibaannya pada 9 pagi ini disambut bekas Menteri Besar Terengganu yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kijal Datuk Seri Ahmad Said serta 200 penduduk setempat.

Sabri berkata meskipun telah berusia, beliau mahu membuktikan kepada masyarakat dengan berjalan kaki dapat mengekalkan kesihatan dan menjadikan senaman sebagai gaya hidup sihat.

“Setiap hari, saya akan mulakan perjalanan seawal pukul 7 pagi dan saya akan berjalan selama 10 jam dengan jarak 50km sehari bagi memastikan saya berjaya tamatkan misi ini.

“InsyaAllah, lepas ini saya akan bukukan pengalaman sepanjang perjalanan saya dan saya juga membuat rakaman video sepanjang perjalanan saya…saya akan kongsikan dengan masyarakat terutamanya generasi muda,” kata.

Bapa kepada tujuh anak dan memiliki 10 cucu itu berkata misi beliau untuk memperkenalkan Daerah Kemaman dan Negeri Terengganu kepada masyarakat luar sepanjang pengembaraannya itu berjaya dilaksanakannya.