Berjaya capai impian ke Jepun

Berjaya capai impian ke Jepun

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Seorang mahasiswa Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini, berlepas ke Jepun, bagi mengikuti Program Bahasa Jepun bagi Pelajar Luar Negara setelah mencatat pencapaian cemerlang dalam Ujian Kecekapan Bahasa Jepun (JLPT).

Dayang Lee Kheng Huan yang mengambil jurusan Pentadbiran Perniagaan di UBD, akan menyertai pelajar-pelajar cemerlang dari 62 buah negara lain dalam program berkenaan yang akan bermula esok hingga 21 September depan. Turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, bagi mengucapkan selamat berlepas kepada beliau ialah wakil dari Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam iaitu Setiausaha Pertama, Junko Kurihara.

Ketika ditemui Media Permata, Dayang Lee Kheng Huan melahirkan harapan bahawa menerusi program berkenaan beliau akan mempelajari budaya-budaya yang ada di sana.

“Ia adalah impian saya untuk pergi ke Jepun,” jelasnya lagi sambil menyeru orang ramai yang berminat untuk ke Jepun untuk mengambil ujian JLPT.

Para peserta program berkenaan akan tinggal di Japan Foundation Japanese-Language Institute, Kansai, Osaka, dan akan mengunjungi Kyoto, Hiroshima dan beberapa tempat lain di Jepun.

Dayang Lee Kheng Huan bersama Junko Kurihara ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Dayang Lee Kheng Huan bersama Junko Kurihara ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Sepanjang program tersebut, para peserta juga akan menghadiri kuliah mengenai Bahasa Jepun, di samping aspek sosial dan budaya Jepun, serta melawat prasarana kebudayaan dan tempat-tempat bersejarah.

Ujian JLPT merupakan ujian Bahasa Jepun bagi bukan penutur asli, yang menilai dan mengesahkan penguasaan mereka dalam Bahasa Jepun. Kepada sesiapa yang ingin menguji keupayaan dalam berbahasa Jepun adalah digalakkan untuk memohon.

JLPT 2016 akan diadakan pada 4 Disember ini dan borong permohonan yang dikenakan caj $5 boleh didapati sekarang di Seksyen Maklumat dan Kebudayaan Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam.

Para pemohon juga perlu untuk mengembalikan borang permohonan sebelum 9 September ini, berserta yuran pendaftaran sebanyak $30. Keterangan mengenai JLPT dan contoh-contoh soalan boleh didapati di laman sesawang http://www.jlpt.jp/e/index.html.

ARTIKEL YANG SAMA