Berjaya kumpul 12 tan bahan kitar semula

Berjaya kumpul 12 tan bahan kitar semula

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Sekolah-sekolah di negara ini diseru agar mendapatkan pengiktirafan daripada pertubuhan serantau dan antarabangsa atas inisiatif yang dijalankan seperti ASEAN Eco Schools Award dan SEAMEO-Japan Education for Sustainable Development Award.

Pemangku Ketua Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Dayang Sarimah binti Abu Bakar turut berkata, Kementerian Pendidikan melalui Pusat STEP mengalu-alukan sekolah yang bergiat aktif dalam menjalankan program yang bertemakan pendidikan alam sekitar.

Bagi sekolah yang belum memulakan atau yang ingin memperbaiki lagi inisiatif berkenaan, beliau menyarankan supaya merujuk buku panduan yang telah diterbitkan oleh Pusat STEP, bertajuk ‘Guidebook For Initiating Green School in Brunei Darussalam’.

Beliau membuat seruan ini semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Hadiah Green Brunei Eco Drive, yang berlangsung di Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, hari ini.

Dayang Sarimah menyampaikan hadiah kepada pemenang dari Sekolah Antarabangsa Jerudong. - Gambar oleh Muiz Matdani
Dayang Sarimah menyampaikan hadiah kepada pemenang dari Sekolah Antarabangsa Jerudong. – Gambar oleh Muiz Matdani
Dayang Sarimah berserta guru-guru lainnya bergambar ramai bersama para pemenang Green Brunei Eco Drive.
Dayang Sarimah berserta guru-guru lainnya bergambar ramai bersama para pemenang Green Brunei Eco Drive.

Mengulas mengenai inisiatif kali kedua anjuran Green Brunei dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dan Kementerian Pendidikan dengan melibatkan 22 buah sekolah itu, beliau melahirkan perasaan gembira kerana projek itu telah berjaya mengumpul lebih kurang 12 tan bahan kitar semula dalam masa beberapa bulan sahaja.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada guru-guru dan juga murid-murid yang telah berusaha untuk meningkatkan pengumpulan bahan kitar semula di sekolah mereka dan menyatakan harapan supaya sekolah-sekolah berkenaan akan terus proaktif dalam mendidik murid-murid mengenai pentingnya penjagaan alam sekitar melalui aktiviti yang kreatif seperti kitar semula di kawasan sekolah mereka.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menjelaskan bahawa Brunei Darussalam merupakan salah sebuah negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang komited dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dilancarkan pada 25 September 2015 lalu.

“SDG ini akan dilaksanakan dalam masa 15 tahun akan datang dan membawa matlamat dalam isu-isu berkaitan dengan alam sekitar antaranya adalah kehidupan di darat, tenaga murah dan bersih, sanitasi dan air bersih dan langkah iklim,” jelas beliau.

Pendidikan, tambah beliau, merupakan satu aspek penting sebagai cara mencapai matlamat yang dihasratkan, justeru komuniti sekolah yang terdiri daripada pelajar-pelajar, para guru, pentadbir dan kakitangan sekolah haruslah menjadikan institusi pendidikan sebagai gudang ilmu serta tempat menyemai sikap serta amalan yang baik sebagai cara menangani isu-isu berkaitan dengan alam sekitar.

“Saya berharap supaya sokongan dan kemajuan sekolah-sekolah dalam perkara ini tidak akan berhenti di sini sahaja, malah sekolah-sekolah digalakkan untuk terus menjalankan aktiviti kitar semula di sekolah mereka agar semangat dan sifat ini dapat dikekalkan,” tegas beliau.

Beliau turut melahirkan harapan agar sekolah-sekolah akan terus lebih kreatif untuk menggalakkan kitar semula dan pengurusan sisa yang lebih baik.

Dalam inisiatif berkenaan, Sekolah Antarabangsa Jerudong tampil di tempat pertama diikuti oleh Ma’had Islam Brunei di tempat kedua dan Sekolah Rendah Jerudong di tempat ketiga.

Selain itu, tiga buah sekolah turut menerima sijil penghargaan atas sumbangan buku kepada Eco Drive berkenaan termasuk Sekolah Sinaran Mas, Sekolah Rendah Jerudong dan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.