Berjaya tamat perjalanan epik

Berjaya tamat perjalanan epik

ABU DHABI, 26 Julai – Solar Impulse 2 hari ini berjaya menamatkan perjalanan bersejarahnya mengelilingi dunia, menjadi pesawat udara pertama yang menggunakan kuasa matahari/solar untuk mempromosi tenaga diperbaharui.

Sorakan dan tepukan meletus ketika pesawat itu mendarat sebelum subuh di Abu Dhabi selepas pusingan terakhir perjalanan maratonnya yang bermula pada 9 Mac tahun lepas.

Pengarah projek dan penjelajah Switzerland, Bertrand Piccard berada dalam kokpit semasa penerbangan lebih 48 jam dari Kaherah, menyeberangi Laut Merah, padang pasir Saudi dan terbang di ruang udara Teluk.

Ia mencakupi perjalanan luar biasa sejauh 43,000km merentasi empat benua, dua lautan dan tiga laut, menyempurnakannya dalam masa 23 hari terbang tanpa menggunakan setitik pun minyak.

“Masa depan adalah bersih, masa depan adalah anda, masa depan adalah sekarang, mari kita lanjutkannya,” kata Piccard ketika dia turun.

Dari kiri-kanan: Putera Albert II dari Monaco, juruterbang Bertrand Piccard dan Andre Borschberg menghadiri sidang akhbar selepas pesawat udara Solar Impulse 2 mendarat di Lapangan Terbang Al Batin di Abu Dhabi selepas menamatkan pusingannya mengelilingi dunia pada 26 Julai. – AF
Dari kiri-kanan: Putera Albert II dari Monaco, juruterbang Bertrand Piccard dan Andre Borschberg menghadiri sidang akhbar selepas pesawat udara Solar Impulse 2 mendarat di Lapangan Terbang Al Batin di Abu Dhabi selepas menamatkan pusingannya mengelilingi dunia pada 26 Julai. – AF

“Satu perkara yang saya mahu anda untuk ingat: Lebih daripada pencapaian dalam sejarah penerbangan, Solar Impulse telah membuat pencapaian dalam sejarah tenaga,” ujarnya.

“Kita mempunyai cukup penyelesaian, cukup teknologi. Kita seharusnya tidak menerima dunia untuk dicemari hanya kerana orang ramai bimbang untuk berfikir dengan cara lain.”

Beberapa jam sebelum mendarat, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Ban Ki-moon memuji pasukan itu dalam perbualan siaran langsung.

“Saya berasa kagum dan menyanjung keberanian anda,” katanya. “Ini adalah satu hari bersejarah bukan hanya buat anda namun bagi kemanusiaan.”

Digelar ‘pesawat kertas’, Solar Impulse 2 mengelilingi dunia dalam 17 peringkat, dengan Piccard, 58, dan rakan seperjuangannya Andre Borschberg bergilir-gilir mengawal pesawat berkerusi tunggal itu.

Borschberg, 63, memecahkan rekod bagi perjalanan solo terpanjang tanpa gangguan dalam sejarah penerbangan antara Nagoya, Jepun dan Hawaii yang berakhir hampir 118 jam dan meliputi 8,924km tahun lepas.

Pesawat udara berkuasa bateri itu mempunyai berat yang lebih ringan daripada sebuah kereta namun mempunyai panjang sayap Boeing 747 dan empat enjin, yang bergantung pada sekitar 17,000 sel solar yang ditanam pada sayapnya. – AFP