Berjuta tanpa bekalan elektrik dek Melor

Berjuta tanpa bekalan elektrik dek Melor

LEGAZPI, Filipina, 15 Dis (AFP) – Taufan Melor melanda bahagian tengah Filipina hari ini dengan membawa hujan lebat dan angin kencang yang menyebabkan berjuta-juta orang tanpa bekalan elektrik dan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh, menurut pegawai.

Satu orang meninggal dunia akibat hipotermia sementara dua orang lain mati lemas dalam banjir di bandar perikanan miskin Catarman di wilayah Samar Utara di wilayah Visayas selatan Manila, beritahu pegawai bencana perbandaran Jonathan Baldo kepada radio DZMM.

Ribut menumbang pokok dan memutuskan bekalan elektrik ke sekurang-kurangnya tujuh wilayah, kata Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Negara (NDRRMC).

Tanglung dan lampu Krismas, bumbung tin dan dahan menyelerakkan jalan raya di bandar Legazpi, yang dilanda angin kencang.

Orang yang melarikan diri dari rumah mereka di pantai menghabiskan malam di pusat pemindahan, tergelimpang di meja dan kerusi dalam bilik darjah tatkala serpihan berterbangan di luar.

Melor melanda semenanjung Bicol, dengan jumlah penduduk 5.4 juta orang, semalaman sebelum melanda pulau Romblon pada pagi ini.

Angin kencang telah menjadi lemah pada pagi ini tetapi masih mencatat 170 kilometer sejam daripada 185 kilometer sejam semalam. Ribut itu dijangka menjadi lemah seterusnya tatkala ia menuju ke pulau Mindoro dan keluar ke Laut China Selatan lewat hari ini, kata ahli kaji cuaca Aldczar Aurelio.

Tidak adanya laporan mengenai kemalangan jiwa di rantau Bicol, di mana 720,000 orang dipindahkan pada hujung minggu.