Berkat usaha gigih

Berkat usaha gigih

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Berkat usaha gigih sebuah keluarga, yang bermula dengan membuat kuih mor di rumah pada tahun 1984 kemudian menghasilkan produk sendiri iaitu kentang bakar pada 2013, kini mencatat kejayaan baru apabila membuka kedai AJWA Kitchen di Kompleks Madang, hari ini.

Perasmian kedai AJWA Kitchen itu disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.

Semasa berucap di majlis pelancaran itu, Yang Berhormat Pehin menyeru kepada para belia untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan dalam memantapkan lagi pendapatan dan ekonomi negara.

“Kejayaan yang dicapai oleh AJWA ini terhasil daripada kegigihan dan semangat kerjasama untuk lebih maju ke hadapan hingga dapat membuka kedai yang berkonsepkan kiub,” ujarnya.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pembekal dan seterusnya melihat lebih dekat lagi sekitar ruang dalam kedai berkenaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Adanan meninjau kedai kiub AJWA Kitchen yang dirasmikan kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Adanan meninjau kedai kiub AJWA Kitchen yang dirasmikan kelmarin.

Kedai yang berkonsepkan kiub itu bukan sahaja menawarkan produk makanan buatan AJWA sendiri tetapi juga menawarkan makanan dan barangan daripada pembekal tempatan untuk sama-sama mempromosi produk mereka melalui kedai berkenaan.

Melihat kejayaan yang ditunjukkan oleh AJWA ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada golongan belia untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan tetapi juga memberi peluang kepada belia untuk mengetengahkan kemahiran atau bakat yang dimiliki kepada orang ramai.

Dalam temu bual bersama salah seorang anak kepada pemilik kedai, Awang Adi berkata nama kedai itu merupakan gabungan nama kedua orang tuanya iaitu Haji Aji bin Haji Osman dan Hajah Siti Awa binti Haji Tuah.

Menjelaskan lanjut latar belakang perusahaan keluarga itu, mereka bermula pada tahun 2013 dengan hanya bermodalkan $30 yang mana AJWA berjaya menghasilkan lima kotak kentang bakar kepada 200 kotak setiap hari setelah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Perniagaan mereka terus berkembang dan pada tahun 2014, mereka mula menawarkan perniagaan dan perkhidmatan makanan berkonsepkan kiub warna-warni yang dikenali sebagai AK-Rents-A-Space-At-Home di Kampung Perpindahan Lambak Kanan. AJWA Kitchen menyediakan 80 kiub jualan untuk produk makanan bawa pulang dan 20 kiub lagi untuk barangan aksesori dan kini AJWA mempunyai 20 pekerja tempatan.

Dalam usaha mempromosi produk, mereka menggunakan media sosial untuk menarik dan memperkenalkan AJWA dan pembekal di bawahnya kepada orang ramai dan setakat ini AJWA berjaya menarik lebih 20,000 pengikut di Instagram.

ARTIKEL YANG SAMA