Berkayak ke Thailand promosi Kedah

Berkayak ke Thailand promosi Kedah

ALOR SETAR, 3 April (Bernama) – Nadzeri Mustaffa, 52, akan berkayak secara solo ke Thailand bagi membantu mempromosi Tahun Melawat Kedah 2016.

Melalui ekspedisi ‘The Spirit Of Brotherhod’, Nadzeri dari Kampung Gua Kerbau, Kodiang akan mendayung sejauh 450 kilometer dari Tanjung Rhu, Langkawi ke Wilayah Phang Nga dan Phuket pada 7 April ini.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi peluang kepada saya untuk turut sama mempromosikan Kedah dengan mengadakan ekspedisi kayak secara solo.

“Dijangka saya akan mengambil masa kira-kira 10 hari untuk sampai ke Thailand,” katanya pada majlis prapelancaran projek itu hari ini. Beliau berkata ini merupakan ekspedisi keempatnya yang sebelum ini pernah berkayak dari Selangor ke Kodiang, dari Perlis ke Johor dan dari Kelantan ke Langkawi.

“Saya harap dapat menamatkan ekspedisi kali ini dengan lancar dan selamat. Saya akan menggunakan peluang ini untuk membantu mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2016,” tambahnya.

Nadzeri Mustaffa, 52, bersama kayaknya sebelum memulakan misi promosi Discover Kedah 2016 melalui air ke Thailand pada Majlis Pelepasan Kayak Solo dan Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi, kelmarin. – Bernama
Nadzeri Mustaffa, 52, bersama kayaknya sebelum memulakan misi promosi Discover Kedah 2016 melalui air ke Thailand pada Majlis Pelepasan Kayak Solo dan Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi, kelmarin. – Bernama

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata beliau berbangga dengan usaha Nadzeri mahu mempromosi Kedah.

“Apabila dia sampai di Thailand, wakil dari wilayah Phang Nga akan menyambut kehadirannya. Saya akan turut sama menunggunya di Thailand pada 14 April ini dengan menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi anjuran Yayasan Permotoran Nasional (YSN),” katanya.

Sementara itu beliau berkata jumlah kedatangan pelancong ke Kedah meningkat dalam tempoh tiga bulan bermula Januari lalu walaupun cuaca panas.

“Pelancong lebih sukakan cuaca panas yang memudahkan mereka merancang aktiviti,” katanya.