Berkenan agihkan korban

Berkenan agihkan korban

Oleh Mohamad Asyramisyanie & Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat ke Majlis Ibadah Korban Sunat Baginda serta kerabat diraja yang diadakan sejurus selepas Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha 1436H di perkarangan Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, di sini.

Berangkat sama ke majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

Juga berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik serta kerabat diraja yang lain.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain ke majlis itu dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman selaku Penasihat Bersama Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Ibadah Korban Sunat berkenaan serta ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

Sebelum berangkat ke Majlis Korban Sunat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1436 Hijrah di masjid yang sama.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Baginda Sultan berkenan melaksanakan ibadah korban.
Baginda Sultan berkenan melaksanakan ibadah korban.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan agihan daging Korban Sunat Baginda serta kerabat diraja.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan agihan daging Korban Sunat Baginda serta kerabat diraja.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan daging korban kepada salah seorang penerima.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan daging korban kepada salah seorang penerima.

pg03_150825_c

Turut berangkat, DYTM Pengiran Muda Mahkota, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel serta kerabat diraja yang lain.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Acara Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha Tahun 1436H/2015M, serta ahli-ahli jawatankuasa yang lain bagi sama-sama menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha.

Seruan menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha dilaungkan oleh Mudim Haji Suhaili bin Haji Kalong dan diikuti dengan sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha berjemaah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Khutbah Sunat Hari Raya Aidiladha dibacakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Pada majlis Ibadah Korban Sunat, Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned mengetuai bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai.

Tujuh ekor kambing sempurna disembelih dan disaksikan sendiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja yang lain, manakala penyembelihan binatang-binatang korban Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat Baginda yang selebihnya disempurnakan di Pusat Penyembelihan Mulaut Abattoir Sdn Bhd.

Sejurus selepas itu Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan daging-daging korban kepada seramai 20 orang asnaf fakir dan miskin yang dipilih dari Daerah Brunei dan Muara dan selebihnya menerima daging-daging korban di dalam majlis penyerahan yang diadakan di keempat-empat daerah.

Pada tahun ini, sebanyak 72 ekor sapi dan 14 ekor kambing dikorbankan dan daging-daging korban tersebut antaranya diagihkan kepada sejumlah 5,485 orang asnaf fakir dan miskin terdiri daripada ketua keluarga serta tanggungan masing-masing. Daripada jumlah itu, 4,227 penerima dari Daerah Brunei dan Muara, 414 dari Daerah Tutong, 717 dari Daerah Belait dan 130 orang penerima dari Daerah Temburong.

Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA