Berkenan berangkat ceriakan Regata Brunei

Berkenan berangkat ceriakan Regata Brunei

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Kawasan Dermaga Diraja di ibu negara, hari ini, menjadi tumpuan orang ramai untuk menyaksikan Regata Brunei 2016 sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun yang berlangsung di Sungai Brunei.

Kemeriahan acara yang dinanti-nantikan itu dapat dirasakan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang berkenan berangkat ke Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan bagi sama-sama menyertai acara berkenaan pada sebelah petang.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja yang lain telah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku penasihat-penasihat bersama Jawatankuasa Tertinggi Regata Brunei Darussalam 2016.

Baginda kemudiannya dijunjung berangkat ke Jeti Dermaga Diraja bagi menyertai Lumba Perahu Acara Khas (Perahu Kaca Gentian 15 Pekayuh).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan berangkat menyertai acara khas Lumba Perahu Kaca Gentian.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan berangkat menyertai acara khas Lumba Perahu Kaca Gentian.
Baginda Sultan ketika berkenan berkongsi saat gembira bersama DYTM Pengiran Perdana Wazir semasa menyaksikan Regata Brunei kelmarin.
Baginda Sultan ketika berkenan berkongsi saat gembira bersama DYTM Pengiran Perdana Wazir semasa menyaksikan Regata Brunei kelmarin.
Baginda Sultan berserta paduka-paduka anakanda ketika berkenan berangkat ke Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan untuk menyaksikan dan menyertai acara lumba perahu Regata Brunei sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-70 tahun di Sungai Brunei.
Baginda Sultan berserta paduka-paduka anakanda ketika berkenan berangkat ke Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan untuk menyaksikan dan menyertai acara lumba perahu Regata Brunei sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-70 tahun di Sungai Brunei.

Sebanyak tujuh pasukan menyertai Lumba Perahu Acara Khas berkenaan di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengetuai Pasukan Ahli Jawatankuasa Regata A yang juga disertai oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dengan menggunakan perahu yang diberi nama ‘Rajawali’.

Sementara itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota pula berkenan mengetuai Pasukan Ahli Jawatankuasa Regata B dengan menggunakan perahu yang diberi nama ‘Punai’.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir berkenan mengetuai Pasukan Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua Kampung menggunakan perahu yang diberi nama ‘Belais’ dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan mengetuai Pasukan Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dengan menggunakan perahu ‘Semperiding’.

Setelah menamatkan perlumbaan, Baginda kemudian dijunjung berangkat ke Pentas Diraja bagi menyaksikan beberapa acara perlumbaan yang lain iaitu Perlumbaan Perahu Tradisi 25 Pekayuh Kementerian-Kementerian, Perlumbaan Perahu Tradisi Terbuka 25 Pekayuh, dan Perlumbaan Perahu Kaca Gentian 15 Pekayuh (jemputan syarikat swasta dan institusi pengajian tinggi).

DYTM Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Pengiran Perdana Wazir ketika berkenan menyertai acara lumba perahu kelmarin.
DYTM Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Pengiran Perdana Wazir ketika berkenan menyertai acara lumba perahu kelmarin.
YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan menyertai acara lumba perahu kelmarin.
YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan menyertai acara lumba perahu kelmarin.

Baginda kemudiannya dijunjung ke tempat perlepasan bagi melepaskan perlumbaan bagi Acara Lumba Perahu Tradisi 30 Pekayuh (Maraton).

Selain itu, Baginda juga dijunjung berangkat ke Pameran Regata Brunei Darussalam 2016 di Galeri Seni Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan bagi menyaksikan pameran yang bertemakan ‘Persahabatan Melalui Sukan Regata SeBorneo’.

Pameran yang dikelolakan oleh Jabatan Muzium-muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan berkenaan telah mengimbas kembali suasana kemeriahan acara-acara regata pada tahun-tahun yang lepas.

Dengan berkonsepkan ‘Koleksi Gambar Kompilasi’, pameran berkenaan merakamkan penglibatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja dalam acara regata di Sungai Brunei.

Pameran tersebut juga memperlihatkan penglibatan dan pencapaian pasukan lumba perahu dari negara ini di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa. Pameran regata itu dibuka setiap hari kecuali Jumaat untuk kunjungan orang ramai hingga 5 September depan, bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Sebahagian daripada orang ramai yang menyaksikan Regata Brunei, kelmarin. – Gambar Infofoto
Sebahagian daripada orang ramai yang menyaksikan Regata Brunei, kelmarin. – Gambar Infofoto

Setelah berkenan menyaksikan pameran, Baginda kemudian dijunjung berangkat ke Pentas Diraja bagi mengurniakan hadiah kepada para pemenang perlumbaan bagi acara Lumba Perahu Acara Khas 15 Pekayuh, Lumba Perahu Tradisi Antara Kementerian-kementerian 25 Pekayuh, Lumba Perahu Tradisi – 25 pekayuh, Lumba Perahu Kaca Gentian 15 Pekayuh Jemputan Syarikat Swasta dan Institusi Pengajian Tinggi, dan Lumba Perahu Tradisi 30 Pekayuh (Maraton).

Seterusnya, Baginda berkenan menerima pesambah daripada Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Para jemputan yang turut hadir terdiri daripada pembesar-pembesar negara, para perwakilan asing di Negara Brunei Darussalam, ketua-ketua jabatan dan para pegawai kanan kerajaan dan swasta serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.

Kejohanan ini juga diharapkan akan dapat memeriahkan lagi suasana Bandar Seri Begawan dan menarik para pelancong luar negara serta akan dapat memperkenalkan Negara Brunei Darussalam di mata dunia.

ARTIKEL YANG SAMA