Berkenan berangkat hadiri sambutan Awal Tahun Hijrah

Berkenan berangkat hadiri sambutan Awal Tahun Hijrah

Oleh Aziz Idris

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kelmarin berkenan berangkat bagi menghadiri majlis sambutan Awal Tahun Baru Hijrah 1438 di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah di Kampung Kiarong.

Menjunjung keberangkatan Baginda Sultan dan ahli-ahli kerabat diraja yang lain ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif bagi Acara-acara Kebesaran Islam 1438 Hijrah.

Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun 1437 Hijrah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

Baginda Sultan kemudian juga berkenan menyertai jemaah menunaikan sembahyang Fardhu Maghrib yang diketuai olehYang Dimuliakan Ketua Hakim Syarie Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, disusuli dengan Doa Awal Tahun Hijrah 1438 dan seterusnya mengetuai Sembahyang Sunnat Hajat bagi memohon keberkatan bagi Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama paduka anakanda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota; Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel ketika berkenan berangkat bagi menghadiri majlis sambutan Awal Tahun Hijrah 1438 di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. – Gambar Azrol Azmi.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama paduka anakanda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota; Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel ketika berkenan berangkat bagi menghadiri majlis sambutan Awal Tahun Hijrah 1438 di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. – Gambar Azrol Azmi.

Dalam ucapan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin menjunjung kasih di atas keberangkatan Baginda Sultan dan ahli-ahli kerabat diraja dalam majlis tersebut.

“Sudah menjadi tradisi di negara ini untuk meraikan semua acara kebesaran Islam. Ini menggambarkan pegangan yang kuat terhadap Islam di negara ini yang memupuk semangat beragama di bawah kepimpinan Baginda Sultan,” jelasnya.

Yang Berhormat Pehin juga menambah, kepimpinan Baginda Sultan telah membawa kedamaian dan ketenangan kepada penduduk dan negara ini sejajar dengan konsep Negara Zikir, ‘Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur’.

Majlis juga diserikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Juara Pertandingan Membaca Al-Quran Kebangsaan, Awang Mohd Rohaidi bin Johadi, manakala terjemahan pula dibacakan oleh Pegawai Pendidikan di Kementerian Hal Ehwal Agama, Awang Mohammad Nor Hadi bin Ismail @ Taib dan Awang Yussof bin Abdul Majid.

Majlis sambutan awal Tahun Hijrah diserikan lagi dengan Tazkirah Hijrah yang disampaikan oleh Pegawai Ugama Kanan di Pusat Dakwah Islamiah, Haji Ahmad Abdussalam bin Abdul Rahman.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran yang diketuai oleh Mufti Kerajaan,Yang Berhomat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Baginda Sultan juga berkenan untuk menunaikan sembahyang Fardhu Isyak berjemaah yang dipimpin oleh Ketua Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Tema sambutan awal Tahun Hijrah tahun ini adalah ‘Harta Berkat Negara Selamat’.

ARTIKEL YANG SAMA