Berkenan berangkat hadiri sidang kemuncak berkaitan

Berkenan berangkat hadiri sidang kemuncak berkaitan

VIENTIANE, Laos, 7 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam petang ini berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-18, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-19, Sidang Kemuncak Dwitahunan ASEAN-Australia Pertama, dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-8 yang berlangsung di Pusat Persidangan Kebangsaan, Vientiane.

Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-18

Baginda mula-mula berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-18 yang dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos, Thongloun Sisoulith, selaku Pengerusi ASEAN, mengalu-alukan kehadiran ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN dan Republik Korea ke sidang kemuncak berkenaan.

Ini diikuti dengan kenyataan daripada Presiden Republik Korea, Park Geun-hye dan seterusnya ucapan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Hun Sen, selaku Negara Penyelaras bagi Hubungan ASEAN-Republik Korea.

Pada sidang kemuncak tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah di mana Baginda menyuarakan kepentingan bagi memperkuatkan kerjasama ekonomi untuk mencapai kemakmuran bersama, serta kepentingan pertukaran budaya dan jalinan di antara rakyat.

Baginda menghargai kemajuan yang dicapai di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea, dan mengalu-alukan kerjasama berterusan dalam bidang-bidang seperti tenaga, keselamatan makanan, dan teknologi info-komunikasi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Dwitahunan ASEAN-Australia Pertama bersama ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Dwitahunan ASEAN-Australia Pertama bersama ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN.

pg01_160908_logo-asean-summit

pg04_160908_d

Baginda juga menyuarakan bahawa kepakaran Republik Korea terutamanya dalam bidang teknologi dan memupuk inovasi, adalah merupakan bidang-bidang kerjasama yang boleh dipertingkatkan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menghargai usaha-usaha Republik Korea melalui Pusat ASEAN-Korea, dalam mengukuhkan penglibatan di antara institusi dan masyarakat peniaga, terutama perusahaan kecil dan sederhana.

Selepas Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-18, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-19.

Sidang kemuncak tersebut dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengerusi ASEAN, mengalu-alukan kehadiran ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN Campur Tiga ke sidang kemuncak berkenaan.

Beliau kemudiannya menjemput Presiden Park Geun-hye, diikuti dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Perdana Menteri China, Li Keqiang, untuk menyampaikan ucapan pembukaan mereka.

Sidang Kemuncak Dwitahunan ASEAN-Australia Pertama

Selesai Sidang Kemuncak ASEAN ASEAN Campur Tiga ke-19, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Dwitahunan ASEAN-Australia Pertama.

Sidang Kemuncak ASEAN-Australia tersebut, yang akan mula bersidang setiap dua tahun mulai tahun 2016 dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos dan Pengerusi ASEAN, mengalu-alukan kehadiran ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN dan Australia ke sidang kemuncak berkenaan.

Ini diikuti dengan kenyataan daripada Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull. Perdana Menteri Thongloun Sisoulith juga menjemput Penasihat Negara dan Menteri Kesatuan Hal Ehwal Luar Negeri Republik Kesatuan Myanmar, Aung San Suu Kyi selaku Negara Penyelaras bagi Hubungan ASEAN-Australia untuk menyampaikan ucapan.

ATAS & BAWAH: Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-19 bagi Memperingati Ulang Tahun ke-25 Hubungan Dialog ASEAN-China.
ATAS & BAWAH: Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-19 bagi Memperingati Ulang Tahun ke-25 Hubungan Dialog ASEAN-China.

pg04_160908_c

Pada sidang kemuncak tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan mengurniakan titah di mana Baginda menyuarakan bahawa ASEAN akan secara berterusan mengutamakan kerjasama dengan Australia dalam pelbagai bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

Di bidang kerjasama perdagangan dan pelaburan, Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand sentiasa menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi.

Program Kerjasama Ekonomi dalam Perjanjian Perdagangan Bebas mendukung Peta Jalan Komuniti Ekonomi ASEAN 2025. Titah Baginda, Negara Brunei Darussalam berharap ini akan meningkatkan pelaburan di peringkat dua hala dan serantau.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menegaskan perlunya komitmen berterusan ke arah keamanan, kemakmuran dan kestabilan di rantau ini. Baginda maklum bahawa Australia sentiasa teguh dalam penglibatannya melalui mekanisme-mekanisme yang diketuai oleh ASEAN bagi menangani isu keselamatan serantau dan global.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga melahirkan penghargaan atas sokongan aktif Australia terhadap Pusat Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) dan pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response).

Baginda juga menyuarakan pentingnya peranan pendidikan dalam pertalian di antara rakyat dan keutamaan yang diberikan oleh Australia, melalui Program Anugerah Australia (Australian Awards Programme) dan Rancangan Colombo Baharu (New Colombo Plan).

Pertukaran tersebut, menurut Baginda, akan meningkatkan lagi kemahiran masyarakat, menggalakkan pemahaman lebih besar, serta membantu pembangun asas yang kukuh dalam menguatkan kerjasama ASEAN-Australia dalam kesemua bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-8

Selesai Sidang Kemuncak Dwitahunan ASEAN-Australia Pertama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-8.

Selepas ucapan pembukaan oleh Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos mengalu-alukan kehadiran ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN dan perwakilan PBB ke sidang kemuncak tersebut, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon dijemput menyampaikan ucapannya.

Di sidang kemuncak tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah yang antara lain, Baginda menyuarakan pelaksanaan Wawasan ASEAN 2025 dan Agenda PBB 2030 bagi Pembangunan Mapan pada tahun lepas, telah meningkatkan dorongan bagi ASEAN dan PBB untuk bekerja lebih rapat bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan, Baginda mengutamakan kerjasama dalam diplomasi preventif.

Dalam hal ini, para pegawai adalah digalakkan untuk mengambil manfaat daripada pengetahuan dan pengalaman luas PBB dalam bidang diplomasi preventif, terutamanya melalui peningkatan kerjasama dalam Forum Serantau ASEAN.

Usaha-usaha dalam menggalakkan menghormati kepelbagaian, toleransi dan kefahaman pegangan, agama dan kebudayaan, serta kesederhanaan akan dapat merapatkan jurang perbezaan dan meredakan ketegangan-ketegangan.

Baginda juga menyuarakan kepentingan bagi memastikan peluang-peluang yang sama rata dalam kualiti pendidikan terutama sekali kepada para belia, untuk mengembangkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan pada masa akan datang.

Pendidikan dapat memupuk toleransi dan saling memahami, dan seterusnya menggalakkan kesederhanaan dan menghormati kehidupan di kalangan belia.

Di akhir titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia melahirkan harapan supaya PBB akan terus memberikan dukungan kepada ASEAN dalam bidang-bidang kerjasama yang bermakna.