Berkenan berangkat hadiri sidang-sidang kemuncak ASEAN

Gambar Infofoto & AFP

 

MANILA, Republik Filipina, 13 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) ke-5 bagi Memperingati Ulang Tahun Hubungan Dialog ASEAN-AS ke-40, Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-20, Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-19 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-20 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Filipina (PICC), Manila.

Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-5

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-5 bagi Memperingati Ulang Tahun ke-40 Hubungan Dialog ASEAN-AS, pada sebelah petang, yang telah dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada Presiden Republik Filipina dan Pengerusi ASEAN, Tuan Yang Terutama Rodrigo Roa Duterte bagi mengalu-alukan kehadiran Presiden AS, Tuan Yang Terutama Donald J. Trump ke sidang kemuncak berkenaan, ini diikuti dengan ucapan Presiden AS.

Presiden Republik Filipina juga menjemput Perdana Menteri Malaysia selaku Negara Penyelaras bagi hubungan ASEAN-AS, Yang Amat Berhormat Dato Laila Utama Datuk Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak untuk menyampaikan Kenyataan Umum ASEAN.

Pada sidang kemuncak tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah di mana Baginda memberi penghargaan kepada AS selaku rakan kongsi ASEAN yang bernilai dan strategik atas komitmen yang berterusan terhadap rantau ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan beramah mesra bersama Perdana Menteri Laos, TYT Thongloun Sisoulith; Presiden Indonesia, TYT Joko Widodo; dan Perdana Menteri Kemboja, TYT Samdech Hun Sen semasa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-20.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar ramai bersama para pemimpin serantau dan antarabangsa semasa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-5 bagi Memperingati Ulang Tahun Hubungan Dialog ASEAN-AS ke-40.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama para pemimpin ASEAN dan antarabangsa semasa berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-19.
Baginda Sultan berkenan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-20.

Sempena memperingati 40 tahun hubungan dialog antara ASEAN-AS pada sidang tersebut, Baginda juga menekankan bahawa kerjasama antara ASEAN dan AS amatlah penting dalam menggalakkan pertumbuhan dan kestabilan global.

Dalam bidang ekonomi, Baginda menggesa keperluan kerjasama antara syarikat-syarikat ASEAN dan AS untuk dikembangluaskan lagi, terutamanya dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke arah mempromosikan inovasi dan keusahawanan.

Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-20

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-20 yang juga telah dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada Presiden Republik Filipina dan Pengerusi ASEAN yang mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Li Keqiang yang kemudiannya turut menyampaikan ucapan.

Presiden Republik Filipina dan Pengerusi ASEAN juga menjemput Perdana Menteri Republik Singapura selaku Negara Penyelaras bagi hubungan ASEAN-China, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong untuk menyampaikan Kenyataan Umum ASEAN.

Semasa sidang kemuncak tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah di mana Baginda antara lain menggesa agar ASEAN dan China menyelesaikan perundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) melalui kerjasama rapat demi mengukuhkan lagi pautan ekonomi antara negara-negara di rantau ini.

Baginda juga amat menghargai sokongan dan sumbangan China sebagai rakan strategik ASEAN yang signifikan ke arah meningkatkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.

Mengimbas kembali kepada keberangkatan Baginda ke CAEXPO ke-14 yang telah diadakan pada awal September lalu di Nanning, Baginda berasa gembira atas kerjasama yang baik bersama China di mana Negara Brunei Darussalam telah dinamakan sebagai ‘Negara Kehormat’ sebanyak dua kali sejak tahun 2006.

Baginda seterusnya menghargai kesan ekspo tersebut dalam mewujudkan peluang baru bagi perdagangan dan perniagaan serantau dan menyambut baik sokongan berterusan China dalam penyertaan PMKS melalui kegiatan-kegiatan perusahaan serantau dan global.

Baginda juga menekankan keperluan untuk mempersiapkan perusahaan-perusahaan bagi Revolusi Industri Keempat. Dalam hal ini, Baginda berharap akan ada usaha sama dalam bidang seperti inovasi teknologi dan ekonomi digital semasa ASEAN-China Year of Innovation pada tahun 2018.

Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-19

Pada sebelah malam pula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-19 yang dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada Presiden Republik Filipina untuk mengalu-alukan kehadiran Presiden Republik Korea, Tuan Yang Terutama Moon Jae-in yang seterusnya turut menyampaikan ucapan.

Presiden Republik Filipina juga menjemput Perdana Menteri Kemboja selaku Negara Penyelaras bagi hubungan ASEAN-Republik Korea, Tuan Yang Terutama Samdech Hun Sen untuk menyampaikan Kenyataan Umum ASEAN.

Selepas Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-19, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-20.

Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-20

Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada Presiden Republik Filipina dan Pengerusi ASEAN bagi mengalu-alukan Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Shinzo Abe yang kemudiannya menyampaikan ucapan.

Presiden Republik Filipina seterusnya mengalu-alukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Negara Penyelaras bagi hubungan ASEAN-Jepun untuk mengurniakan titah Kenyataan Umum ASEAN bagi pihak negara-negara anggota ASEAN.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah mengakui bahawa sokongan kuat Jepun terhadap ASEAN adalah sangat bernilai kepada pembangunan ASEAN pada keseluruhannya.

Baginda kemudiannya mengucapkan penghargaan atas sumbangan Jepun kepada ASEAN, terutamanya melalui Dana Integrasi Jepun-ASEAN yang telah menghulurkan bantuan bagi pelaksanaan projek-projek dan aktiviti-aktiviti bernilai lebih daripada AS$650 juta.

Baginda seterusnya bertitah bahawa perkongsian yang erat antara kedua-dua belah pihak adalah penting dalam mengukuhkan kerjasama pada masa akan datang.

ASEAN juga berharap untuk meneruskan pelbagai program pertukaran seperti JENESYS, yang bertujuan untuk membina persahabatan dan menggalakkan persefahaman dalam kalangan belia.

Baginda selanjutnya bertitah bahawa banyak yang dapat dipelajari oleh ASEAN melalui pengalaman Jepun dalam pembangunan perindustrian dan teknologi baru.

Dalam hal ini, Baginda menyampaikan penghargaan bagi pihak ASEAN atas Expanded Partnership for Quality Infrastructure Initiative yang bertujuan untuk mempromosikan kesalinghubungan dan menyambut baik pelancaran Rangkaian Inovasi ASEAN-Jepun.

Kemudiannya, Baginda mengetengahkan peranan institusi seperti Pusat ASEAN-Jepun dan Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA) dalam mengukuhkan perkongsian ekonomi ASEAN-Jepun.

Baginda juga mengongsikan bahawa ASEAN yakin dengan hubungan masa depannya dengan Jepun di mana ASEAN berharap untuk terus membangunkan perkongsian dinamik dan menyumbang kepada kemajuan di rantau ini.

SAHAM
TerdahuluAS julang Piala Fed
SeterusnyaVettel tawan GP Brazil