Berkenan berangkat ke Hari Kemasyarakatan ke-6

Berkenan berangkat ke Hari Kemasyarakatan ke-6

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, selaku Yang Di-Pertua Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) hari ini berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Kemasyarakatan Ke-6 Tahun 2015 Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam yang berlangsung di Ibu Pejabat PPPBD, Jalan Anggerak Desa di sini.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah.

Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia telah dijunjung oleh Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim serta Naib-naib Yang Di-Pertua dan Penolong-penolong Ketua Pesuruhjaya PPPBD. Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa kesyukuran, dipimpin oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abd Ghani dan diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, lagu Dunia Pandu Puteri dan lagu Rantau Asia Pasifik.

Hajah Siti Hafsah dalam sembah alu-aluannya menjelaskan majlis Sambutan Hari Kemasyarakatan tahun ini adalah juga bersempena dengan hari ulang tahun puja usia Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah.

“Alhamdulillah PPPBD sekali lagi dapat merancang satu program kesinambungan kepada projek-projek kemasyarakatan yang telah dilancarkan pada tahun 2000, yang berkaitan dengan Pertubuhan Sedunia Pandu Puteri dan Pengakap Puteri (WAGGGS).”

Keberangkatan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah bersama YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah.
Keberangkatan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah bersama YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah.

pg01_150727_a

Yang Teramat Mulia berkenan dijunjung memotong kek sempena Sambutan Hari Kemasyarakatan ke-6 dan sempena Ulang Tahun Puja Usia YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah.
Yang Teramat Mulia berkenan dijunjung memotong kek sempena Sambutan Hari Kemasyarakatan ke-6 dan sempena Ulang Tahun Puja Usia YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah bersama YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah berkenan bergambar ramai.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah bersama YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah berkenan bergambar ramai.

Hajah Siti Hafsah juga berkata, Projek Tabung Kemasyarakatan iaitu Wakaf Pandu Puteri, yang diselaraskan dengan salah satu dari Projek Pembangunan dan Perkembangan Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam telah dilancarkan pada 16 Mei 2008.

Pada tahun-tahun yang sudah bantuan-bantuan telah dihulurkan melalui Wakaf Pandu Puteri kepada ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri yang tidak mampu membeli peralatan dan pakaian seragam Pandu Puteri, bantuan warga emas, bantuan kepada bencana alam, bantuan kepada tabung-tabung kemasyarakatan negara dan menghulurkan bantuan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai ahli-ahli berkeperluan khas.

Yang Teramat Mulia berserta kerabat yang lain kemudian berkenan menyaksikan persembahan-persembahan daripada Pek Pandu Puteri Tunas Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata, Gadong dan Pasukan Pandu Puteri Sekolah Menengah Berakas.

Ahli-ahli Pandu Puteri menyayikan lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Lagu Dunia Pandu Puteri dan Lagu Rantau Asia Pasifik.
Ahli-ahli Pandu Puteri menyayikan lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Lagu Dunia Pandu Puteri dan Lagu Rantau Asia Pasifik.

Majlis diteruskan lagi dengan acara kemuncak Sambutan Hari Kemasyarakatan Ke-6 Tahun 2015 yang diselajurkan dengan upacara memotong kek Sempena Puja Usia Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah.

Yang Teramat Mulia juga berkenan menyempurnakan penganugerahan derma kepada 29 orang anak-anak yatim PPPBD dan kemudian menyaksikan pameran kraf tangan yang dibuat oleh Pek Pandu Puteri Tunas dan Pasukan Pandu Puteri bagi Kutipan Tabung Kemasyarakatan PPPBD.

Majlis tersebut antara lain adalah bertujuan mendedahkan ahli-ahli pada budaya berkhidmat untuk masyarakat, terutamanya kepada yang memerlukan bantuan serta sumbangan dan pada masa yang sama memupuk dan memantapkan sifat-sifat jati diri, disiplin dan kerja berpasukan melalui projek dan aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan.

Di samping itu juga, ia mendidik ahli-ahli muda supaya sentiasa bersiap-sedia untuk berbakti kepada masyarakat, ugama, bangsa dan negara bersesuaian dengan cogan kata Pandu Puteri iaitu “siap sedia.”