Berkenan berangkat ke Majlis Hari Guru ke-26

Berkenan berangkat ke Majlis Hari Guru ke-26

Oleh Sim Y. H. & Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Guru Ke-26, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Berkenan berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja yang lain ke Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi bersama majlis serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Haji Guru Negara Brunei Darussalam ke-26.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah khusus buat ayahanda Baginda Sultan, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Ini diikuti dengan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran, Surah Al-Kahfi ayat 65-78 oleh Naib Johan Musabaqah Tilawatil Quran Peringkat Akhir Kebangsaan 2016 dan Johan Musabaqah Tilawatil Quran Peringkat Anta-rabangsa di Moscow 2014, Awang Mohammad bin Ali dengan inti sari ayat disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Usuluddin dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan meng-anugerahkan Anugerah Guru Cemerlang kepada Dayang Nor Surayani.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan meng-anugerahkan Anugerah Guru Cemerlang kepada Dayang Nor Surayani.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan meng-anugerahkan Anugerah Penghargaan Hari Guru kepada penerima.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan meng-anugerahkan Anugerah Penghargaan Hari Guru kepada penerima.

p12-3_20160930

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain berkenan dijunjung untuk menyaksikan salah satu persembahan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain berkenan dijunjung untuk menyaksikan salah satu persembahan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain berkenan dijunjung beramah mesra bersama orang ramai.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain berkenan dijunjung beramah mesra bersama orang ramai.

p12-6_20160930

Antara kerabat diraja yang berkenan berangkat ke majlis itu.
Antara kerabat diraja yang berkenan berangkat ke majlis itu.
Duli Pengiran Digadong berserta YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan dijunjung bergambar ramai.
Duli Pengiran Digadong berserta YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan dijunjung bergambar ramai.
Sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan.
Sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dalam sembah alu-aluannya, berkata Kementerian Pendidikan secara berterusan melaksanakan usaha-usaha untuk meningkatkan kualiti guru di negara ini.

“Guru-guru diberikan pelbagai latihan perkembangan profesional di bawah Rangka Kerja Perkembangan Guru Profesional. Rangka kerja itu merupakan paduan bagi pemimpin sekolah, guru dan pengendali program untuk melaksanakan program perkembangan profesional guru secara bersistematik.”

Yang Berhormat Pehin menjelaskan, latihan perkembangan profesional itu akan memastikan para guru sentiasa memiliki kemahiran yang relevan dan terkini dalam pengajaran dan pembelajaran melalui kursus-kursus berjangka panjang dan berjangka pendek.

Beliau berkata, perkara itu akan menambahkan keberkesanan usaha pembangunan Komuniti Pembelajaran Profesional dalam kalangan guru-guru dan pemimpin-pemimpin sekolah.

Sementara itu, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21), Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan Piawaian Literasi dan Numerasi Kebangsaan yang akan membantu pihak kementerian untuk mengetahui keberadaan tahap pencapaian dalam literasi dan numerasi di setiap peringkat persekolahan.

“Seterusnya ia akan membantu para guru merangka strategi dan intervensi yang bersesuaian mengikut keperluan setiap pelajar.”

Yang Berhormat Pehin berkata, satu lagi usaha kementeriannya dalam meningkatkan kemahiran literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar adalah, melalui Projek Guru Pakar dalam bidang literasi dan numerasi, yang didatangkan dari luar negara.

“Selain bertujuan memberikan impak kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah, projek juga bertujuan bagi meningkatkan kapasiti dan kemahiran guru-guru dan juga pegawai-pegawai melalui proses pemindahan pengetahuan daripada pakar-pakar yang didatangkan itu.”

Ke arah merealisasikan sasaran-sasaran pencapaian para pelajar dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) / General Certificate of Education (GCE) Peringkat Biasa (atau ‘O’ level) menjelang 2017, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama terus mempertingkatkan usaha dan bekerjasama rapat dengan Unit PENGGERAK, Jabatan Perdana Menteri.

“Strategi dan langkah-langkah yang dilaksanakan terus difokuskan kepada lima bidang utama, iaitu Kepimpinan, Pengajaran dan Pembelajaran, Kedatangan dan Faktor Sosial, Akauntabiliti dan Pengurusan Prestasi dan Penghubung-Jalin (Cross-Cutting Enablers).”

Dalam sembah alu-aluannya itu, Yang Berhormat Pehin juga amat menghargai semua usaha pemimpin-pemimpin sekolah, guru-guru, para ibu bapa dan semua pihak dalam sama-sama memberi perhatian yang sungguh-sungguh kepada pembelajaran para pelajar dan untuk membantu pihak sekolah melaksanakan inisiatif-inisiatif yang sudah dikenal pasti.

“Ini diharap akan dapat menyumbang kepada pencapaian matlamat pendidikan Negara, yang merupakan landasan untuk kejayaan Wawasan 2035.”

Majlis juga diserikan dengan persembahan lagu oleh kumpulan gabungan pelajar-pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, tingkatan enam dan guru-guru dari Kementerian Pendidikan dan Jabatan Penga-jian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Baginda Sultan kemudian berkenan menyempurnakan pe-ngurniaan anugerah-anugerah Hari Guru ke-26, 2016 kepada 29 orang penerima yang terdiri daripada dua orang penerima Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS), dua orang penerima Anugerah Guru Berjasa, lima orang penerima Anugerah Guru Cemerlang dan 20 orang penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention).

Pada akhir majlis, Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain dijunjung berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama dengan para penerima anugerah dan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-26, 2016.

Baginda Sultan dan kerabat diraja yang lain, kemudian dijunjung berangkat menyaksikan Persembahan Bicara Berirama oleh pelajar-pelajar Sekolah Rendah Al-Falah dan menyaksikan Pameran Sempena Sambutan Hari Guru ke-26 Tahun 2016 di ruang legar.

Pengisian utama pameran itu bertujuan untuk menonjolkan pencapaian dan sumbangan guru bagi kejayaan pelajar-pelajar mereka dalam pelbagai peringkat, mencakupi program-program terkini dan beberapa pencapaian yang membanggakan sama ada di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Baginda Sultan juga berkenan menerima junjung ziarah bersama penerima-penerima Anugerah Guru Cemerlang dan para penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) Tahun 2011 sehingga 2015, guru-guru, pelajar-pelajar, siswa-siswi dari pelbagai peringkat pendidikan dan institusi serta peserta-peserta persembahan.

ARTIKEL YANG SAMA