Berkenan berangkat ke Majlis Israk Mikraj

Berkenan berangkat ke Majlis Israk Mikraj

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1437 Hijrah/ 2016 Masihi di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1437H berserta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan jawatankuasa kerja yang lain.

Menteri Hal Ehwal Ugama dalam sembah alu-aluannya antara lain menyentuh mengenai perisian Majlis Sambutan Israk dan Mikraj pada tahun ini yang menggariskan kepada tema ‘Sembahyang Kunci Syurga’.

pg03_160506_a

Baginda Sultan berserta kerabat-kerabat diraja yang lain semasa berkenan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara 1437H/2016M.
Baginda Sultan berserta kerabat-kerabat diraja yang lain semasa berkenan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara 1437H/2016M.
Kerabat-kerabat diraja yang turut berkenan berangkat ke majlis sambutan itu.
Kerabat-kerabat diraja yang turut berkenan berangkat ke majlis sambutan itu.

“Bagi menyemarakkan sambutan Israk dan Mikraj pada tahun ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui jabatan dan bahagian di bawahnya akan menyelenggarakan beberapa acara iringan iaitu Bengkel Kesempurnaan Sembahyang yang dikendalikan oleh Bahagian Kemajuan Syiar Islam, dikhususkan kepada para pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan kementerian yang lain yang berjawatan dalam Bahagian II ke bawah.”

Yang Berhormat Pehin menambah, kempen sembahyang berjemaah Fardu Subuh juga akan diadakan di semua masjid, surau, balai ibadat di seluruh negara secara serentak dan masjid dengan tumpuannya di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam; Kampung Jerudong; Masjid Rancangan Perpindahan Negara Kampung Pandan; Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; Masjid Utama Mohd Salleh, Temburong; dan Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Lambak Kanan yang akan dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Sempena sambutan ini juga, KHEU akan mengungkayahkan Taklimat Kewajipan Mengeluarkan Zakat dan Panduan Mengeluarkannya yang dikendalikan Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei dengan menyasarkan anggota beruniform, pegawai-pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam serta syarikat-syarikat perniagaan Islam, tambah beliau lagi.

Persembahan nasyid menyerikan lagi majlis sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara 1437H/2016M.
Persembahan nasyid menyerikan lagi majlis sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara 1437H/2016M.
Para jemputan yang hadir ke majlis itu.
Para jemputan yang hadir ke majlis itu.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Malik bin Haji Jumaat, manakala itu kesimpulan maknanya dibacakan oleh Pegawai Ugama Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Haji Haris bin Haji Suboh.

Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama sebelum pengurniaan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Acara diteruskan dengan ceramah khas bertajuk ‘Sembahyang Kunci Syurga’ yang disampaikan oleh Pemangku Timbalan Mufti Kerajaan, Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof.

Majlis diserikan lagi dengan Persembahan Nasyid oleh Kumpulan Belia Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong bersama Kumpulan Belia Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop.

Bagi memohon berkat dan rahmat di majlis yang berkebajikan ini, doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

ARTIKEL YANG SAMA