Berkenan bera...

Berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Azrol Azmi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, pagi tadi, telah berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita sempena dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi tahun 1438H yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Juga berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta ahli kerabat diraja yang lain telah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dato Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohammad Yusof.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh johan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 1437/2016, Dayangku Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki.

Sementara itu, tafsiran pula telah dibacakan oleh wakil Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Rasidah binti Haji Apong.

Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja yang lain berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita.
Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja yang lain berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita.
Baginda Raja Isteri semasa berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas. – Gambar Infofoto
Baginda Raja Isteri semasa berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas. – Gambar Infofoto

Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Hajah Siti Azizah binti Haji Musa selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Majlis Perhimpunan Khas Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W Peringkat Negara bagi tahun 1438H.

Beliau dalam ucapannya menyembahkan bahawa Majlis Perhimpunan Khas Wanita berkenaan adalah bagi kali ke-23 semenjak ia diungkayahkan pada tahun 1995.

“Dalam tempoh berkenaan, kesemua kementerian telah turut serta dalam mengendalikan perjalanan majlis ini secara bergilir-gilir di samping pengendali tetap iaitu Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam. Pada tahun ini, kementerian yang bergabung mengendalikan majlis ini ialah Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan,” ujarnya.

Majlis kemudian menyaksikan Persembahan Kesimpulan Makna Ayat secara Berdialog oleh penuntut Sekolah Menengah Arab Katok yang mana persembahan itu menghuraikan makna ayat 261 hingga 265 Surah Al-Baqarah melalui dialog dan lakonan situasi kehidupan kontemporari.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berserta kerabat diraja yang lain berkenan mengunjungi salah sebuah petak jualan pada Majlis Perhimpunan Khas Wanita.

Baginda Raja Isteri berkenan mendengarkan penerangan mengenai salah satu buku yang dipamerkan pada majlis perhimpunan itu.
Baginda Raja Isteri berkenan mendengarkan penerangan mengenai salah satu buku yang dipamerkan pada majlis perhimpunan itu.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berserta kerabat diraja yang lain turut berkenan mengunjungi salah sebuah petak jualan.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berserta kerabat diraja yang lain turut berkenan mengunjungi salah sebuah petak jualan.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan mengunjungi salah sebuah petak pameran.

Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan ceramah khas mengenai tema majlis tahun ini iaitu ‘Berwawasan yang Berkat dengan Bercontoh kepada Rasulullah S.A.W’ yang disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Dayangku Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan.

Majlis juga diserikan lagi dengan persembahan Dikir Marhaban gabungan bersama KHEU dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Baginda Raja Isteri dan ahli kerabat diraja yang lain seterusnya berkenan berangkat menyaksikan Pameran dan Jualan Halal Pengusaha-pengusaha Kecil Tempatan.

Pameran tersebut mengetengahkan penglibatan pengusaha industri kecil dan sederhana khususnya dalam kalangan wanita yang menjalankan aktiviti dan perniagaan yang mencontohi akhlak dan sunnah Rasulullah S.A.W.

Salah seorang peserta pameran yang ditemui, Pengiran Hajah Hanijah binti Pengiran Haji Damit yang merupakan wakil Kelab Jawi Wanita Brunei dan di bawah naungan Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan bahawa kelab tersebut telah berkali-kali menyertai acara kenegaraan seperti ini.

Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh johan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 1437/2016, Dayangku Ummi Syazana.
Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh johan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 1437/2016, Dayangku Ummi Syazana.
Persembahan Dikir Marhaban gabungan bersama KHEU dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.
Persembahan Dikir Marhaban gabungan bersama KHEU dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.
Antara yang hadir pada Majlis Perhimpunan Khas Wanita itu.
Antara yang hadir pada Majlis Perhimpunan Khas Wanita itu.

“Pameran ini mengetengahkan kaum wanita dalam penulisan jawi. Masa ini kami sebagai beberapa tenaga pengajar masih bersandarkan kepada beberapa guru untuk memahirkan diri dalam penulisan jawi khususnya bagi kalangan wanita.”

Beliau menyatakan bahawa kelab berkenaan juga telah mengadakan beberapa kelas bimbingan kepada guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan mengikut fasa di keempat-empat daerah iaitu mengajar menulis huruf-huruf jawi kemudian sambungan huruf dan seterusnya membuat karya jawi iaitu jawi yang berbentuk khat.

Beliau kemudian menyeru para belia khususnya dalam kalangan wanita yang berminat dalam tulisan khat agar menyertai Kelab Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka dalam sama-sama meningkatkan lagi penulisan tulisan jawi dan khat di negara ini.

Pameran berkenaan dibukakan untuk kunjungan orang ramai selama tiga hari bermula hari ini selepas selesai majlis sehingga 5 petang, esok dari pukul 9 pagi se-hingga 5 petang dan 13 Januari, dari 9 pagi sehingga 11:30 pagi dan 2 petang hingga 5 petang.

Majlis perhimpunan berkenaan dianjurkan khas untuk wanita bagi memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta peranan Baginda dalam meningkatkan status wanita dan sebagai contoh untuk diteladani.