Berkenan berangkat ke Majlis Sambutan HUT ABDB ke-55

Berkenan berangkat ke Majlis Sambutan HUT ABDB ke-55

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), pagi tadi, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB ke-55 Tahun yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB, Kampung Tanah Jambu, di sini.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral ABDB dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Sambutan ulang tahun ABDB tahun ini membawakan tema ‘Generasi ABDB Berwawasan’ yang merupakan penghayatan ABDB untuk mempertahankan momentum gagasan generasi berwawasan.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah dijunjung oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit dan Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung beramah mesra bersama orang ramai yang hadir.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung beramah mesra bersama orang ramai yang hadir.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung berangkat memeriksa perbarisan dan diiringi oleh Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung berangkat memeriksa perbarisan dan diiringi oleh Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih.
Baginda Sultan bersama Duli Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat menyaksikan pameran sempena Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB ke-55 Tahun.
Baginda Sultan bersama Duli Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat menyaksikan pameran sempena Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB ke-55 Tahun.

pg09_160601_d pg09_160601_e

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz turut hadir pada majlis sambutan itu.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz turut hadir pada majlis sambutan itu.

pg09_160601_g pg09_160601_h pg09_160601_i

Sejurus berangkat tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa pasukan-pasukan Perbarisan Raksasa serta Jentera/Aset Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Pasukan-pasukan perbarisan berkenaan melibatkan seramai 1,055 orang anggota ABDB yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Institut Latihan (IL) ABDB, Rejimen Pasukan Khas (RPK) ABDB dan Pasukan Askar Wanita di bawah Pemerintah Ketua Perbarisan, Leftenan Kolonel Haji Mohammad Shahnonnizam bin Sulaiman.

Selepas pemeriksaan perbarisan, acara disusuli dengan perbarisan berjalan lalu dalam rentak perlahan dan cepat oleh Pasukan-pasukan Perbarisan dengan Panji-panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Panji-panji Pasukan ABDB diikuti perbarisan mara ke hadapan untuk diperhatikan semula.

Kemudian, Kebawah Duli Yang Maha Mulia  berkenan mengurniakan titah sebelum laungan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ disembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menyemarakkan lagi sambutan sekali gus menunjukkan gagasan semangat seluruh warga ABDB.

Bagi memberkati upacara, bacaan Doa Selamat telah dibacakan oleh Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB (JA’MAAT), Mejar Ariffin bin Amit @ Hamid.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia sekali lagi disembahkan dengan Tabik Hormat Diraja yang diikuti dengan terbang lalu pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Brunei.

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja lainnya berkenan menyaksikan Persembahan Arena di Padang Kawad, Akademi Pertahanan ABDB.

Baginda Sultan dan kerabat diraja yang lain kemudian berangkat ke Markas Sekolah Pegawai Kadet, Akademi Pertahanan ABDB bagi menyaksikan pameran statik yang mempamerkan konsep gabungan kemahiran anggota ABDB seperti kelengkapan dan keupayaan ketenteraan dari TDDB, TLDB dan TUDB, di samping dimeriahkan dengan pesta ria dan bazar.

Sesuai dengan tema, Pameran Statik mengetengahkan tentang penglibatan ABDB selaku aset Diplomasi Pertahanan di arena antarabangsa.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan berangkat ke Auditorium Akademi Pertahanan ABDB bagi Majlis Ramah Mesra bersama  pegawai-pegawai tidak bertauliah (PTB) kanan dan rendah ABDB.

Di sana, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan bergambar ramai bersama PTB Kanan dan Rendah ABDB disusuli dengan menerima pesambah berupa sebuah model dunia yang dibuat daripada tembaga dan mempunyai kompas dunia yang terletak di bawahnya, dinamakan ‘Brass Armillary Nautical Sphere Globes, World Sundail Compass’, yang disembahkan oleh PTB Kanan ABDB.

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh PTB Rendah ABDB berupa sebuah Helmet Polo yang berjenama ‘Charles Owen’ dari United Kingdom.

Sukan polo merupakan antara sukan kegemaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Selepas menerima junjung ziarah daripada PTB Kanan dan Rendah ABDB serta menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat ke Maktab Turus Akademi Pertahanan ABDB dan berkenan menerima junjung ziarah daripada pegawai-pegawai tentera dari pelbagai negara yang sedang mengikuti Kursus Maktab Turus di Akademi Pertahanan.

Di akhir lawatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja lainnya dijunjung berangkat ke Ceremonial Hall, Akademi Pertahanan ABDB bagi Majlis Santap dan Ramah Mesra bersama para pegawai dan mantan-mantan pegawai ABDB.

Pada majlis ini juga, Baginda berkenan memotong kek Sambutan HUT ABDB ke-55 seterusnya berkenan menerima pesambah berupa pistol yang disembahkan oleh para pegawai ABDB.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja lainnya dijunjung bagi sesi bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, mantan-mantan timbalan menteri pertahanan, mantan-mantan pemerintah ABDB, para pengarah awam dan tentera serta komandan-komandan.