Berkenan berangkat ke Majlis Sambutan PPPBD

Berkenan berangkat ke Majlis Sambutan PPPBD

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha selaku Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) hari ini berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Pandu Puteri 2015 yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Berangkat sama Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah selaku Yang Dipertua PPPBD, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

Menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja yang lain ialah Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim serta ahli-ahli persatuan.

Hajah Siti Hafsah dalam sembah alu-aluannya mengatakan Sambutan Hari Pandu Puteri 2015 adalah bagi menghargai ahli-ahlinya dalam dua kategori penghargaan iaitu kategori Khidmat Lama Ahli Jawatankuasa Tadbir PPPBD dan Anugerah Khas Pandu Puteri 2015.

“Mereka yang menerima penghargaan ini merupakan ahli yang secara sukarela bertugas, berdedikasi dan bersemangat mengetuai PPPBD dalam acara-acara kebesaran di negara ini.

pg01_151010_b

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja lain berkenan berangkat ke majlis sambutan itu.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja lain berkenan berangkat ke majlis sambutan itu.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung memotong kek Puja Usia Baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung memotong kek Puja Usia Baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan lencana dan sijil penghargaan khidmat lama kepada salah seorang penerima.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan lencana dan sijil penghargaan khidmat lama kepada salah seorang penerima.

“Untuk itu, PPPBD amat menghargai sumbangan dan bakti ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam yang telah lama berkhidmat dan aktif dalam kegiatan kepanduan manakala pemimpin Pandu Puteri pula dipilih kerana kerajinan mereka mengetuai pasukan Pandu Puteri dan pek Pandu Puteri Tunas sekolah mereka,” katanya.

Baginda Raja Isteri kemudian dijunjung untuk menyempurnakan pengurniaan sijil penghargaan kepada penerima lencana Khidmat Lama Perak (ahli berkhidmat 15 tahun) kepada Dayang Norazrina binti Haji Sarbinin, Dayang Norleham binti Haji Tuah, Pengiran Hajah Sarah binti Pengiran Haji Kamaluddin, Dayang Iznina binti Mohd Tahir dan Dayang Nurulainiah binti Haji Abdul Halim.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyempurnakan pengurniaan sijil penghargaan kepada penerima Lencana Khidmat Lama Gangsa (ahli berkhidmat 10 tahun) kepada Dayangku Fatmawati binti Pengiran Hashim, Dayang Mashaniah binti Haji Abdul Hamid, Dayang Wan Zainab binti Mohd Arif Zain dan Hajah Zamratul Arapah binti Haji Hassan.

Ahli-ahli Pandu Puteri yang hadir di majlis itu kelmarin.
Ahli-ahli Pandu Puteri yang hadir di majlis itu kelmarin.

Manakala Anugerah Khas Hari Pandu Puteri 2015 dikurniakan kepada Dayang Aida binti Haji Abdul Rahman, Hajah Napsiah binti Haji Mohammad, Dayang Norlelawati binti Haji Abu Bakar dan Dayang Ainah binti Haji Untong.

Sejurus penyampaian sijil penghargaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan memotong kek ulang tahun Puja Usia Baginda kemudiannya menerima junjung ziarah daripada ahli-ahli persatuan Pandu Puteri.

Baginda Raja Isteri turut berkenan menyaksikan pameran kraf tangan ahli-ahli persatuan.

Majlis diadakan bertujuan untuk meraikan sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, menghargai jasa dan bakti ahli-ahli yang sudah lama berkhidmat dan pemimpin Pandu Puteri yang aktif, mempamerkan hasil kegiatan ahli yang boleh dikomersialkan serta mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dan meningkatkan perasaan muhibah dalam kalangan ahli-ahli persatuan di semua daerah.

ARTIKEL YANG SAMA