Berkenan berangkat ke Perasmian, Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN

Gambar oleh Infofoto

 

MANILA, Republik Filipina, 13 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi, berkenan berangkat menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan serta Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-31.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan berangkat bersama-sama ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN; pemimpin-pemimpin negara rakan dialog; setiausaha agung ASEAN dan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan yang diadakan di Pusat Kebudayaan Filipina (CCP).

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah dijunjung oleh Ketua Protokol Presiden Republik Filipina, Robert Borje dan seterusnya dialu-alukan secara rasmi oleh Presiden Republik Filipina dan Pengerusi ASEAN, Tuan Yang Terutama Rodrigo Roa Duterte berserta Cielito Avancena.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan beredar bersama-sama para pemimpin yang lain bagi majlis pembukaan rasmi.

Sejurus memasuki Dewan Nicanor Abelardo, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung menaiki pentas bagi sesi bergambar rasmi ASEAN bersama ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN yang lain; para pemimpin negara rakan dialog; setiausaha agung ASEAN dan setiausaha agung PBB.

Baginda Sultan berkenan bergambar bersama Tuan Yang Terutama Rodrigo Roa Duterte dan Cielito Avancena pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan Sidang-sidang Kemuncak Yang Berkaitan kelmarin.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menghadiri sidang kemuncak berkenaan kelmarin.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah kelmarin.
Baginda Sultan berkongsi saat gembira ketika Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN, kelmarin.
Presiden Filipina ketika menghadiri salah satu sesi pada sidang kemuncak kelmarin. – AFP

Pada majlis pembukaan rasmi tersebut, Presiden Republik Filipina selaku Pengerusi ASEAN telah menyampaikan ucapan pembukaan di mana Tuan Yang Terutama mengalu-alukan kehadiran ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN; pemimpin-pemimpin negara Rakan Dialog; setiausaha agung ASEAN dan setiausaha agung PBB ke sidang kemuncak tersebut.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan bercorak warna-warni, lagu tema ASEAN dan lagu yang dicipta khas oleh negara tuan rumah ASEAN.

Selepas majlis pembukaan rasmi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan berangkat bersama-sama ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN yang lain bagi Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa Filipina (PICC).

Sesi pleno dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada Presiden Republik Filipina dan Pengerusi ASEAN bagi mengalu-alukan ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN serta setiausaha agung ASEAN. Pada sesi pleno tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut mengurniakan titah.

Pada sidang pleno tersebut juga, para pemimpin ASEAN bersetuju untuk melantik Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dato Paduka Lim Jock Hoi sebagai Setiausaha Agung ASEAN bagi tempoh lima tahun mulai 2018 hingga 2022.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat Tuan Yang Terutama Donald J. Trump juga menghadiri sidang kemuncak pertamanya bersama pemimpin ASEAN bersama-sama Perdana Menteri China, TYT Li Keqiang; Perdana Menteri Jepun, TYT Shinzo Abe; Presiden Korea Selatan TYT Moon Jae-in; Perdana Menteri India TYT Narendra Modi; Presiden Indonesia, TYT Joko Widodo dan Kaunselor Negara Myanmar Aung San Suu Kyi.

Tuan rumah, yang memerangi kumpulan pemberontak di bandaraya Marawi di selatan, menugaskan kira-kira 60,000 anggota keselamatan untuk menjamin keselamatan sidang kemuncak itu dan tetamu luar negara berprofil tinggi.

Pemimpin ASEAN akan turut menandatangani Konsensus ASEAN bagi Perlindungan dan Penggalakan Hak Pekerja Migran, sebuah dokumen bersejarah yang akan memperteguhkan lagi perlindungan sosial, akses kepada

keadilan, layanan adil dan berperikemanusiaan, serta akses kepada perkhidmatan kesihatan bagi pekerja migran di Asia Tenggara.

Antara acara penting yang berlangsung di sini adalah Ulang Tahun ke-40 Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Kesatuan Eropah; Sidang Kemuncak Peringatan ke-20 ASEAN Campur Tiga; Sidang Kemuncak ke-20 ASEAN-China; Sidang Kemuncak ke-19 ASEAN-Republik Korea; Sidang Kemuncak ke-20 ASEAN-Jepun; Sidang Kemuncak Asia Timur ke-12; Sidang Kemuncak ke-15 ASEAN-India dan Sidang Kemuncak ke-9 ASEAN-PBB.

Singapura akan menjadi pengerusi ASEAN pada 2018.