Berkenan berangkat saksikan Eksesais Hikmat Bersatu

Berkenan berangkat saksikan Eksesais Hikmat Bersatu

Oleh Pg Fairol RMF, Normazlina MD & Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani, Pg Fairol RMF & Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 April – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), hari ini, berkenan berangkat untuk menyaksikan secara dekat Eksesais Hikmat Bersatu V/2016 (HB V/2016).

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Bolkiah Garison, dijunjung oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit, Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah dan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar.

Ketua-ketua kumpulan kerja bagi Eksesais HB V/2016, disembah kenal kepada Duli Yang Teramat Mulia semasa keberangkatan tiba di Bolkiah Garison.

Kemudian, Duli Yang Teramat Mulia berkenan beredar ke Bilik Taklimat Markas Angkatan Bersama bagi sembah alu-aluan oleh Pemerintah ABDB dan mendengarkan sembah taklimat Eksesais HB V/2016 daripada Pengarah Keanggotaan, Kementerian Pertahanan selaku Pengarah Eksesais, Kolonel Haji Abdul Hadi bin Haji Saim, serta sembah taklimat Operasi HB V/2016 daripada Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat.

Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenan beredar untuk menyaksikan secara dekat Pusat Gerakan Bersama dan komponen-komponen di bawah Pusat Gerakan Bersama dalam merancang operasi bersama.

pg12_160406_b

pg12_160406_a

pg12_160406_d

pg12_160406_e

pg12_160406_c

Sebelum berangkat menaiki helikopter ke Field Firing Area, Binturan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan Persidangan Media di Muzium ABDB, salah satu aktiviti dalam senario eksesais.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Field Firing Area, Binturan dijunjung oleh Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud dan Komandan Institut Latihan ABDB selaku Timbalan Pengarah Eksesais, Kolonel Haji Abidin bin Haji Abdul Hamid.

Di Field Firing Area, Binturan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat untuk menyaksikan secara dekat operasi TDDB dan Rejimen Pasukan Khas ABDB.

Senario bagi operasi itu, memperlihatkan aktiviti pengganas menculik tawanan sebagai tebusan yang ditahan di kawasan Tanah Putih yang dikhaskan.

Senario turut melibatkan Rejimen Pasukan Khas untuk memintas musuh dan seterusnya melepaskan tahanan daripada musuh. Sebaik sahaja mereka menyelamatkan tawanan, Platun dari TDDB kemudiannya mengosongkan kedudukan musuh.

Senario yang mengambil masa hampir setengah jam itu melibatkan TDDB daripada Pasukan Bantu dan Batalion Kedua, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan Rejimen Pasukan Khas.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima junjung ziarah daripada anggota ABDB yang terlibat mengikuti latihan eksesais berkenaan. Duli Yang Teramat Mulia kemudian dijunjung menaiki helikopter menuju ke Bukit Agok di mana keberangkatan tiba dijunjung oleh Pemerintah TUDB, Kolonel (U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah.

pg12_160406_f

Antara beberapa latihan semasa Eksesais Hikmat Bersatu V/2016.
Antara beberapa latihan semasa Eksesais Hikmat Bersatu V/2016.
Eksesais Hikmat Bersatu ini juga memperlihatkan satu senario demonstrasi tunjuk perasaan oleh orang awam yang dikawal oleh anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Eksesais Hikmat Bersatu ini juga memperlihatkan satu senario demonstrasi tunjuk perasaan oleh orang awam yang dikawal oleh anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Operasi-operasi yang juga diadakan di laut Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei.
Operasi-operasi yang juga diadakan di laut Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei.

Semasa di Bukit Agok, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mendengar taklimat ringkas daripada Pemangku Pegawai Pemerintah Cawangan Nombor 2, TUDB, Mejar (U) Peter bin Ulat @ Yulat dan seterusnya dijunjung berangkat bagi menyaksikan penembakan Peluru Berpandu Mistral.

Dari Bukit Agok, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung berangkat menaiki helikopter ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB). Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Pemerintah TLDB, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad.

Di sana, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan demonstrasi tunjuk perasaan oleh orang awam dan seterusnya meninjau secara dekat Pusat Gerakan TLDB dan sistem pengawalan keselamatan Pangkalan TLDB. Duli Yang Teramat Mulia juga telah dijunjung berangkat ke KDB DARULAMAN bagi menyaksikan operasi di laut.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia bagi eksesais tersebut berakhir di Mes Pegawai TLDB bagi Majlis Santap Ringan, menyembahkan pesambah, menandatangani lembaran kenangan dan bergambar ramai.

Eksesais ini telah bermula sejak 1 April lalu dan akan berakhir pada 7 April ini, dan turut memberi bantuan dalam eksesais adalah Batalion Pertama Royal Gurkha Rifles (1RGR), Pasukan Simpanan Gurkha, Pasukan Polis Diraja Brunei, jabatan-jabatan daerah, dan beberapa buah mukim serta kampung.

Ia melibatkan beberapa kawasan di perairan Negara Brunei Darussalam dan beberapa kawasan pedalaman, perumahan dan komersial termasuk jalan-jalan raya di beberapa tempat di keempat-empat daerah.

Eksesais Hikmat Bersatu pada tahun ini merupakan kali kelima sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 2003.

Konsep Eksesais HB V/2016 adalah kesinambungan daripada Eksesais Perisai Kebangsaan 4/2015 (EPK 4/2015) dan tertumpu kepada ancaman bukan tradisional (non-traditional security threats).

ARTIKEL YANG SAMA