Berkenan berangkat tinjau lebih dekat KHEDN

Berkenan berangkat tinjau lebih dekat KHEDN

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb –  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kelmarin berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja ke Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya untuk meninjau secara lebih dekat mengenai aktiviti dan perjalanan kementerian berkenaan.

Keberangkatan tiba Baginda di bangunan KHEDN di ibu negara telah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Juga menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Setiausaha-setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam dan Haji Idris bin Haji Ali serta timbalan-timbalan setiausaha tetap KHEDN dan ketua-ketua jabatan.

Sejurus keberangkatan, Baginda dijunjung ke Bilik Mesyuarat Muaffaqah, Aras 7, KHEDN di mana Baginda berkenan mengurniakan titah dan seterusnya mendengarkan sembah taklimat mengenai KHEDN oleh Haji Mohd ‘Abdoh.

Dalam titah berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyarankan agar KHEDN merekodkan apa-apa jua yang telah dicapai dari tiap-tiap fungsi kementerian berkenaan.

Antara fungsi-fungsi KHEDN adalah untuk membina perpaduan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat, untuk bersama pelbagai pihak memangkin pembangunan sosioekonomi dan keselamatan masyarakat, untuk bersama pelbagai pihak memelihara keselamatan masyarakat, untuk bersama pelbagai pihak memperkasa jati diri bangsa dan untuk bersama pelbagai pihak mendukung nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB).

Baginda Sultan berkenan mendengar sembah taklimat hala tuju KHEDN daripada pegawai kanan KHEDN.
Baginda Sultan berkenan mendengar sembah taklimat hala tuju KHEDN daripada pegawai kanan KHEDN.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para pegawai dan kakitangan Jabatan Buruh.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para pegawai dan kakitangan Jabatan Buruh.
Baginda Sultan berkenan meninjau secara dekat fasilitet LCS (Labour Control System) Workstation yang disediakan untuk kemudahan orang ramai mengakses LCS dan untuk memohon perkhidmatan-perkhidmatan Jabatan Buruh secara ‘online’.
Baginda Sultan berkenan meninjau secara dekat fasilitet LCS (Labour Control System) Workstation yang disediakan untuk kemudahan orang ramai mengakses LCS dan untuk memohon perkhidmatan-perkhidmatan Jabatan Buruh secara ‘online’.
Baginda Sultan ketika berkenan menyaksikan satu demonstrasi menyelamat mangsa yang tertimbus.
Baginda Sultan ketika berkenan menyaksikan satu demonstrasi menyelamat mangsa yang tertimbus.
Baginda Sultan berkenan mendengar penerangan ringkas mengenai Projek Inisiatif Pelan Induk Kemajuan Bandar Seri Begawan (BSB  Development Master Plan) daripada Pegawai Bandaran, Dayang Masridah binti Haji Mahmud.
Baginda Sultan berkenan mendengar penerangan ringkas mengenai Projek Inisiatif Pelan Induk Kemajuan Bandar Seri Begawan (BSB Development Master Plan) daripada Pegawai Bandaran, Dayang Masridah binti Haji Mahmud.
Baginda Sultan berkenan mengadakan lawatan ke Jabatan Bandaran.
Baginda Sultan berkenan mengadakan lawatan ke Jabatan Bandaran.
Baginda Sultan berkenan mengadakan lawatan kerja ke JIPK.
Baginda Sultan berkenan mengadakan lawatan kerja ke JIPK.
Baginda Sultan berkenan berangkat melawat Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC).
Baginda Sultan berkenan berangkat melawat Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC).
Baginda Sultan berkenan menyaksikan sebahagian daripada hasil Satu Kampung Satu Produk.
Baginda Sultan berkenan menyaksikan sebahagian daripada hasil Satu Kampung Satu Produk.

Semua fungsi-fungsi ini juga dilihat sebagai bagus-bagus belaka, padat dan berisi namun Baginda mempersoalkan adakah semuanya boleh dicapai dan jika boleh, sejauh manakah sudah pencapaian itu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menyarankan KHEDN agar dapat membuat statistik untuk mengetahui hasilnya, sama ada sudah memuaskankah ataupun belum.

Mengenai ungkapan bersama pelbagai pihak, KDYMM juga ingin mengetahui siapakah yang dimaksudkan dengan pelbagai pihak itu di sini.

Baginda dalam titahnya juga menyoal sama ada ia termasuk juga sesama agensi dalam kerajaan dan jika termasuk, adakah telah menjadi amalan kepada KHEDN untuk membawa agensi-agensi yang berkaitan untuk berunding dan bermuzakarah atau meminta pandangan di dalam perkara yang ia patut dirundingkan.

Baginda seterusnya berkenan berangkat melawat ke bahagian-bahagian di KHEDN antaranya Bahagian Keselamatan dan Kesejahteraan, Bahagian Hiburan Awam, Bahagian Perhubungan Awam, Bahagian Penyelidikan Perkembangan dan Sumber Manusia termasuk Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK).

KHEDN yang ditubuhkan pada 1 Januari 1984 mempunyai visi, iaitu ‘Perpaduan dan kesejahteraan negara yang berterusan dan berdaya maju demi ketahanan nasional’ manakala misinya pula adalah ‘Bersama memastikan perkhidmatan yang cemerlang dan meningkatkan kesejahteraan serta pembangunan sosioekonomi masyarakat yang seimbang’.

Ia mempunyai 12 jabatan di bawahnya, iaitu Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM), Jabatan Daerah Belait, Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Daerah Temburong, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, Jabatan Bandaran Tutong, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Jabatan Buruh, Jabatan Penjara dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (National Disaster Management Centre – NDMC).

Dari KHEDN, Baginda kemudiannya berangkat melawat ke Jabatan Buruh, di Jalan Dewan Majlis, di mana keberangkatan tiba Baginda dijunjung oleh Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.

Baginda berkenan melawat ke aras bawah bangunan empat tingkat itu yang dikhususkan untuk memberikan keselesaan kepada orang ramai membuat pelbagai urusan di kaunter-kaunter perkhidmatan seperti mendapatkan lesen, pas kerja dan sebagainya.

Selain itu, tingkat yang sama juga menyediakan ruang untuk syarikat-syarikat berkaitan seperti ejen-ejen insurans, ejen pekerjaan, perkhidmatan fotokopi dan sebagainya termasuk surau.

Seterusnya Baginda meneruskan lawatan kerja ke JIPK dan berkenan meninjau proses permohonan kad pengenalan serta dokumen perjalanan.

Sepanjang tahun 2015 yang lalu, jabatan tersebut telah mengeluarkan sebanyak 20,636 kad pengenalan kuning, 2,057 ungu dan 83,604 kad pengenalan hijau, manakala sebanyak 56,557 pasport biometrik telah dikeluarkan pada tahun lalu serta 79 pasport rasmi, 211 pasport diplomatik, 7,147 Sijil Pengenalan dan 10,077 Sijil Pengenalan Biasa.

Dalam usaha memberikan perkhidmatan kepada orang ramai, JIPK juga telah memperkenalkan kemudahan penggunaan keluar/masuk ‘immigration clearance’ secara moden, iaitu ‘e-gate’ yang mana telah mula digunakan di bahagian bertolak di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada Disember 2008 sejak pasport biometrik mula diperkenalkan. Baginda seterusnya berkenan berangkat melawat ke JBP, Lapangan Terbang Lama, Berakas, di sini.

Keberangkatan tiba Baginda di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat dijunjung oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman di mana Baginda mula-mula berkenan melawat Pusat Gerakan dan berkenan mendengarkan sembah taklimat daripada SSFR Sharin bin Haji Mohd Jawie.

Setelah itu, Baginda berkenan menaiki jentera bomba serta dibawa ke Padang Kawad Bomba dan Penyelamat bagi menyaksikan demonstrasi menyelamat mangsa dari bangunan yang telah runtuh, disembahkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat serta Bahagian Hazmat.

JBP mempunyai misi, iaitu mengurangkan kadar kejadian akibat kebakaran dan bertindak dengan cara bagi menangani apa-apa jua panggilan kecemasan, manakala visi jabatan berkenaan pula ialah bekerjasama dengan masyarakat bagi melindungi apa yang mereka hargai.

NDMC juga mendapat perhatian KDYMM semasa lawatan kerja Baginda. Keberangkatan tiba Baginda Sultan ke NDMC dijunjung oleh Pemangku Pengarah NDMC, Pengiran Haji Sabli bin Pengiran Damit.

Kemudian Baginda dijunjung ke Bilik Persidangan Majlis Bencana Kebangsaan dan disembahkan penerangan mengenai Majlis Bencana Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. Majlis bersidang terakhir kalinya pada 10 Mei 2011.

Baginda kemudian dijunjung ke Pusat Perintah Bencana (Disaster Command Centre – DCC) dan mendengarkan sembah taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, NDMC, Awang Mohammad Adib bin Matali.

DCC yang berperanan sebagai pusat koordinasi dan pengumpulan maklumat apabila terjadi bencana di peringkat kebangsaan serta serantau, di samping mengkoordinasi jalinan perhubungan dan keperluan logistik bagi operasi bencana melalui District Emergency Operation Centre di setiap daerah.

NDMC yang terletak di Jalan Landasan Lama, Berakas, berdekatan Ibu Pejabat JBP, ditubuhkan pada 1 Ogos 2006 di bawah mandat Perintah Pengurusan Bencana 2006.

Sejak ditubuhkan, pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh NDMC dengan kerjasama pelbagai agensi dalam sama-sama memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

Dari NDMC, KDYMM meneruskan lawatan kerja ke JDBM di mana keberangkatan Baginda dijunjung oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei-Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Semasa lawatan tersebut, Baginda berkenan menyaksikan pameran dari Majlis Perundingan Mukim (MPM) dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) mengenai ‘Satu Kampung Satu Produk’ (1K1P) yang disertai oleh lapan buah MPM dan MPK.

JDBM mempunyai enam bahagian, iaitu Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, Unit Kebajikan dan Kesejahteraan, Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Bahagian Kampong Ayer, Bahagian Kemajuan dan Pembangunan Daerah serta Bahagian Perhubungan.

Baginda mengakhiri lawatan kerja Baginda dengan membuat lawatan ke Jabatan Bandaran BSB.

Keberangkatan tiba Baginda di Ibu Pejabat Jabatan Bandaran BSB, dijunjung oleh Pengerusi Lembaga Bandaran BSB, Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail.

Semasa lawatan tersebut, Baginda berkenan menyaksikan pameran pelan perancangan di Tingkat 1, Bilik Mesyuarat Johan Pahlawan dan disembahkan taklimat ringkas oleh pegawai-pegawai di jabatan tersebut.

Peranan utama Jabatan Bandaran BSB ialah mendukung hasrat Lembaga Bandaran BSB yang memainkan peranan penting dalam merancang pembangunan dan kemajuan BSB secara bersistematik, teratur serta terarah sesuai dengan hasratnya bagi mentransformasikan BSB sebagai salah sebuah bandar raya yang dinamik, berdaya saing, cantik, menarik dan bersih serta mampu menjana aktiviti perdagangan dan perekonomian, di samping bertahan menjadi ristaan generasi-generasi yang akan datang.

Semasa lawatan Baginda Sultan ke jabatan-jabatan di bawah KHEDN, Baginda juga dijunjung untuk menandatangani lembaran keberangkatan dan sesi bergambar ramai.

ARTIKEL YANG SAMA