Berkenan bertahlil di Kubah Makam Diraja

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) hari ini mengadakan Majlis Bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit bertempat di Kubah Makam Diraja, sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan ke-25 tahun.

Berangkat ke majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.

Hadir mengalu-alukan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

Juga hadir ialah Timbalan Pengerusi II Jemaah Tadbir Yayasan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Pengarah Urusan Yayasan, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny; ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan; pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan; ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan; guru-guru Sekolah Yayasan  serta penduduk Rancangan Perumahan Kampung Bolkiah ‘A’ dan Kampung Bolkiah ‘B’.

Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja, sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan ke-25 tahun.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menjirus air asah-asahan di Makam Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien semasa Majlis Bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja, sempena Ulang Tahun Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ke-25 tahun. – Gambar Infofoto
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menjirus air asah-asahan di Makam Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi, Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Aziz, Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Suhaili, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi, dan ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan, pengerusi serta ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan; ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; pegawai dan kakitangan Yayasan dan lainnya hadir pada majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja.

Bacaan Yasin dan tahlil dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Yayasan ditubuhkan atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober 1992 sempena sambutan Jubli Perak Baginda menaiki takhta.

Penubuhannya adalah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat Baginda, tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat.