Berkenan kurnia hadiah kepada penerima APCPA, pemenang AKKC

Berkenan kurnia hadiah kepada penerima APCPA, pemenang AKKC

Oleh Sim Y. H. & Normazlina MD

Gambar Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Hari Perkhidmatan Awam ke-22 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri Perdana, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

Sejurus keberangkatan tiba Baginda Sultan dan kerabat diraja yang lain, lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dikumandangkan dan diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned yang dikhususkan kepada Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien serta pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah kembali ke rahmatullah.

Majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Pegawai Pelajaran, Awang Zul-Hafiz bin Tengah, manakala kesimpulannya dibaca oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Muhd Azrol Alim bin Haji A.Zaini.

Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-22, Awang Yahya bin Haji Idris dalam sembah alu-aluannya menyatakan, bagi mencapai kemajuan yang bermakna, setiap warga perkhidmatan awam disarankan untuk berusaha dengan lebih gigih, untuk mengubah budaya kerja supaya lebih cekap, efisien dan bertindak cepat bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain pada Majlis Hari Perkhidmatan Awam ke-22, di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain pada Majlis Hari Perkhidmatan Awam ke-22, di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Antara penerima Anugerah Kumpulan Kerja Cemerlang.
Antara penerima Anugerah Kumpulan Kerja Cemerlang.
Baginda Sultan bersama kerabat diraja lain berkenan bergambar kenangan bersama para penerima APCPA dan pemenang AKKC 2015.
Baginda Sultan bersama kerabat diraja lain berkenan bergambar kenangan bersama para penerima APCPA dan pemenang AKKC 2015.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bersama kerabat diraja yang lain berkenan berangkat ke Majlis Hari Perkhidmatan Awam ke-22.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bersama kerabat diraja yang lain berkenan berangkat ke Majlis Hari Perkhidmatan Awam ke-22.
Antara para jemputan yang turut hadir pada majlis itu.
Antara para jemputan yang turut hadir pada majlis itu.

Baginda Sultan kemudian berkenan untuk mengurniakan titah dan diikuti dengan tayangan klip video Urus Tadbir Dinamik ke Arah Kesejahteraan Negara dan sembah pemakluman penerima-penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) bagi 2015 oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Awang Jaini bin Haji Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Penilaian APCPA.

Seramai 39 orang pegawai dan kakitangan kerajaan yang terdiri daripada Bahagian II, III, IV dan V dari setiap kementerian telah diperkenankan untuk menerima APCPA.

Anugerah itu dihasratkan untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah menunjukkan prestasi dan penghasilan kerja yang cemerlang serta mempunyai keperibadian yang tinggi.

Ia diharap akan menjadi pendorong dalam meningkatkan semangat bekerja dan produktiviti kerja yang lebih tinggi lagi berkualiti yang akan membawa ke arah perkhidmatan awam yang cemerlang.

Penerima APCPA bagi Bahagian II menerima sebuah plak, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak $2,000, manakala itu, penerima-penerima dalam Bahagian III, IV dan V menerima sebuah plak, sijil penghargaan dan wang tunai $1,000.

Majlis diteruskan dengan tayangan klip video Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) 2015 di mana sembah pemakluman pemenang Anugerah KKC (AKKC) disampaikan oleh Pengarah Institut Perkhidmatan Awam selaku Pengerusi Panel Penilaian Kumpulan Kerja Cemerlang, Hajah Norezan binti Haji Hambali dengan tempat pertama dimenangi oleh Kumpulan PGS1415 dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, tempat kedua ialah Kumpulan GBS dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan tempat ketiga disandang oleh Kumpulan StarNet dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.

Baginda Sultan kemudian dijunjung bagi mengurniakan hadiah-hadiah kepada para penerima APCPA dan pemenang AKKC.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat dan diikuti dengan lagu kebangsaan Allah Perliharakan Sultan, sebelum Baginda Sultan dan kerabat diraja yang lain berkenan untuk bergambar ramai dengan para penerima APCPA dan pemenang AKKC 2015.

Sambutan bertema Urus Tadbir Dinamik Ke Arah Kesejahteraan Negara ini berhasrat untuk menitikberatkan betapa pentingnya perkhidmatan awam mengamalkan urus tadbir bersifat dinamik yang sentiasa bersedia dan bersiap-siaga dalam mengambil langkah proaktif, dapat disesuaikan dengan penggubalan dasar-dasar, proses dalam pentadbiran dan perubahan mengikut arus pergolakan dunia dalam isu serantau dan antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA