Berkenan lancar sambutan SEAMEO ke-50

Berkenan lancar sambutan SEAMEO ke-50

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Pusat-pusat bagi Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO), yang kini berjumlah 20 keseluruhannya di rantau ASEAN, diharap akan wujud sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan yang berkembang pesat di rantau ini.

Sehubungan itu, adalah penting bagi setiap pusat SEAMEO mempunyai strategi dan inisiatif yang jelas dan dapat menghasilkan penyelidikan serta program berimpak tinggi, di samping menyediakan pembangunan modal insan yang berkesan di setiap negara anggota, terutama dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan.

Saranan itu dibuat oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong pada majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun Penubuhan SEAMEO ke-50 Tahun dan Penubuhan Pusat Serantau SEAMEO bagi Pendidikan Teknikal dan Vokasional (SEAMEO VOCTECH) ke-25 Tahun, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Brunei, Berakas, hari ini.

Berangkat bagi melancarkan sambutan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dalam sembah ucapannya seterusnya berkata, Pusat Serantau SEAMEO sehingga kini menjadi tulang belakang SEAMEO dalam menepati matlamatnya dan memenuhi kehendak masyarakat, termasuk para guru dan remaja.

YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan melancarkan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan SEAMEO ke-50 Tahun dan Penubuhan Pusat Serantau SEAMEO bagi Pendidikan Teknikal dan Vokasional (SEAMEO VOCTECH) ke-25 Tahun.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan melancarkan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan SEAMEO ke-50 Tahun dan Penubuhan Pusat Serantau SEAMEO bagi Pendidikan Teknikal dan Vokasional (SEAMEO VOCTECH) ke-25 Tahun.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan berangkat ke majlis sambutan.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan berangkat ke majlis sambutan.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan menyampaikan Anugerah Pengiktirafan SEAMEO VOCTECH.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan menyampaikan Anugerah Pengiktirafan SEAMEO VOCTECH.

Pusat tersebut juga memainkan peranan dalam menangani masalah pendidikan, sains dan pemeliharaan kebudayaan yang dihadapi di peringkat serantau seperti dasar pendidikan dan perkembangan modal insan.

Objektif itu juga sejajar dengan wawasan masa kini SEAMEO, iaitu untuk mempertingkatkan kerjasama dan perpaduan serantau ke arah tahap kehidupan yang lebih baik melalui jaringan persahabatan yang dapat menyediakan forum bagi pembuat dasar dan para pakar.

Menurutnya, sejak 1990, Negara Brunei Darussalam, yang menjadi anggota kesembilan SEAMEO, telah menjadi pangkalan bagi Pusat Latihan, Pendidikan Teknikal dan Vokasional Serantau, SEAMEO VOCTECH.

“Sempena sambutan ulang tahun ke-25 tahun SEAMEO VOCTECH, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pegawai dan kakitangan SEAMEO VOCTECH atas sumbangan mereka terhadap pembangunan modal insan melalui program latihan dan pendidikan, forum dan bengkel serta penyelidikan dan penerbitan jurnal.”

Ujarnya lagi, sehingga hari ini, SEAMEO VOCTECH telah mempamerkan potensinya sebagai sebuah pusat kecemerlangan bagi pendidikan teknikal dan vokasional.

YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan menyaksikan pameran.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan menyaksikan pameran.

pg12_150902_d

Melalui transformasi bidang pendidikan teknikal yang kini terletak di bawah Institut Pendidikan Teknik Brunei (IBTE) sejak dua tahun lalu, negara telah menyaksikan perubahan yang membawa impak besar kepada pendidikan teknikal dan vokasional di negara ini.

Sebelum mengakhiri sembah ucapannya, Yang Berhormat Pehin turut menyarankan supaya SEAMEO VOCTECH terus berkembang dan bekerjasama rapat dengan IBTE dan institusi lain di negara ini.

Pada majlis sambutan itu, Yang Teramat Mulia juga berkenan menyampaikan anugerah kepada beberapa tokoh yang telah menyumbangkan jasa terhadap perkembangan dan kemajuan SEAMEO VOCTECH.

Tiga penerima ialah bekas Presiden Majlis SEAMEO yang menerima Anugerah Pengiktirafan SEAMEO VOCTEH iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abdul Aziz bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Sementara itu, sembilan orang penerima anugerah serupa yang pernah dan sedang memegang jawatan Pengarah SEAMEO VOCTECH ialah Dr Azaharaini bin Haji Mohd Jamil, Haji Abdul Razak bin Haji Metassan, Haji Abdul Ghani bin Haji Omar, Dato Paduka Haji Mohd Daud bin Haji Mahmud, Awang Noorhaizamdin bin Haji Mosbi, Awang Mohamad bin Abu Bakar, Haji Awang Yussof bin Haji Awang Mohamad, Awang Alias bin Haji Abu Bakar dan Haji Mohd Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh.

ARTIKEL YANG SAMA