Berkenan menerima mengadap

Oleh Bahyiah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah telah berkenan menerima mengadap secara berasingan dua orang duta besar istimewa dan mutlak yang akan menamatkan perkhidmatan mereka di Balai Penghadapan, Bukit Kayangan, hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia terlebih dahulu berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Amphay Kindavong yang telah menjadi duta negara berkenaan sejak 13 September 2014.

Kemudian, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran, Tuan Yang Terutama Abdolhamid Fekri yang memegang peranan sebagai duta ke Negara Brunei Darussalam sejak 26 Januari 2015.

Duli Yang Teramat Mulia meluahkan penghargaan peribadi kepada kedua-dua duta berkenaan atas sumbangan mereka kepada persahabatan berpanjangan di antara negara mereka dan Negara Brunei Darussalam.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ketika berkenan menerima mengadap TYT Amphay Kindavong (atas) dan TYT Abdolhamid Fekri (bawah) di Balai Penghadapan, Bukit Kayangan, kelmarin.