Berkenan mengadakan perjumpaan bersama PM Singapura

Berkenan mengadakan perjumpaan bersama PM Singapura

SINGAPURA, 28 Nov – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini, telah berkenan berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan dan Majlis Santap Tengah Hari bersama Perdana Menteri Republik Singapura, Lee Hsien Loong yang diadakan di Istana.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Istana dialu-alukan oleh Lee Hsien Loong. Duli Yang Teramat Mulia mula-mula berkenan menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri Singapura di West Drawing Room. Selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung beredar ke Yusof Room di Istana bagi Majlis Santap Tengah Hari.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrisnan; Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia, Grace Fu; Menteri Pendidikan (Pengajian Tinggi dan Kemahiran) dan Menteri Pertahanan Kedua, Ong Ye Kung.

Terdahulu itu, pagi tadi, Duli Yang Teramat Mulia telah berkenan berangkat membuat lawatan ke The Treasury, Kementerian Kewangan, Republik Singapura.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di The Treasury dijunjung oleh Ketua Perkhidmatan Awam Singapura, Peter Ong dan seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung bagi mendengarkan sembah taklimat yang disampaikan oleh Melissa Khoo daripada Kumpulan Strategi, Jabatan Perdana Menteri.